Followers

nuffnang

Showing posts with label Penyakit. Show all posts
Showing posts with label Penyakit. Show all posts

Wednesday, January 12, 2011

Rokok elektronik ?



Hari ni aku ke PPD mesyuarat Prestasi. Sewaktu rehat ada sahabat menghisap rokok pelik. Rokok itu aku lihat tidak terbakar dan tidak berhabuk. Rupa-rupanya itu sejenis rokok elektronik. Aku bukan perokok dan sudah lama meninggalkannya maka aku tidak tahu perkembangan ini.

Masa sekolah dulu kerana terikut-ikut pernahlah mencuba Dunhill, Surya dan Salem. Tapi itu dulu dan tidak meneruskan tabiat buruk itu selepas mula bekerja. Bagi ku merokok adalah pembaziran yang nyata. Tidak tahulah bagi perokok tegar apa alasan mereka.

Rokok elektronik itu mula dicipta di China pada 2004. emm...sudah lama ye. Pihak pengurusan salah satu syarikat pengeluar, EdSylver menyatakan jualan rokok itu meningkat sejak 2007.

Bagi mereka, rokok elektronik merupakan alternatif buat perokok kerana ia kelihatan seperti rokok biasa, diperbuat daripada bahan plastik, tidak mengeluarkan abu dan menghasilkan asap tiruan dan ia menggunakan kuasa bateri yang boleh dicaj. Oleh itu mereka mendakwa ia boleh digunakan di kawasan larangan merokok.

Rokok elektronik itu yang dijual di pasaran di AS sekitar harga AS$59.93 (RM184.85) boleh diisi dengan nikotin yang terdapat dalam rokok biasa.Rokok itu turut mempunyai perasa seperti rokok Virginia Slims, Marlboro, Benson Hedges, 555, lemon dan vanila.

Bagaimanapun, pakar tembakau di seluruh dunia menegaskan bahawa rokok elektronik itu tidak menyumbang terhadap kebaikan kesihatan dan menjejaskan kempen antimerokok.

Agak-agak nya, apakah kehadiran rokok elektronik ini akan menjadi satu fenomena baru dan merubah tanggapan terhadap bahaya merokok? sama-sama lah kita tunggu jawapannya dalam sedekad ini.

Teman-teman perokok tentu ada respon.
Bagi adik-adik remaja tak payah lah mencuba.

"Ingat!,, 99% penagih dadah bermula dengan rokok, sebelum mencuba yang lebih high".



Sumber rujukan: Kosmo Online

Sunday, September 5, 2010

Yusof Chong Meninggal Dunia




Allahyarham Yusof Chong meninggal dunia Ahad lalu akibat komplikasi pelbagai penyakit. Beliau meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor.


HANYA tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam hendak menyambut Syawal, dunia hiburan dikejutkan dengan berita sedih kematian pelawak terkenal Yusof Chong,63.

Beliau meninggal dunia di Hospital Selayang, Ahad kira-kira pukul 3.30 petang akibat komplikasi pelbagai penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi dan batu karang.

Allahyarham dimasukkan ke Hospital Selayang sejak lima hari lalu selepas dipindahkan dari Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Beliau tinggal di kampungnya di Jeniang, Sik, Kedah.

Kehilangan Allahyarham amat dirasai terutama sekali kepada mereka yang pernah menyaksikan persembahan beliau.

Allahyarham tiada duanya. Sehingga hari ini tiada individu yang dapat menggantikan kehebatan Allahyarham.

Beliau mempunyai keistimewaan kurniaan Allah yang tiada tolak bandingnya.

Yusof atau nama sebenarnya Yusop Mat Said bukan sembarangan pelawak kerana setiap kali menghiburkan penonton, lawaknya akan disulam dengan isu-isu semasa termasuklah politik dan hiburan.

Kehebatan beliau kerana berjaya meniru suara pemimpin-pemimpin politik dan seterusnya mampu menggeletek perasaan sesiapa sahaja yang menyaksikan persembahan beliau.


Bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin pernah melawat Yusof di rumah anaknya di Batu Caves, Selangor pada tahun 1998.

Antaranya kemampuan meniru suara menteri-menteri kabinet seperti Tan Sri Mohamed Rahmad (Allahyarham), Tun Lim Kheng Yeik, Datuk Seri S.Samy Vellu dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau juga mampu meniru suara artis-artis seperti R.Azmi, Datuk David Arumugam, Zain Azman, Halim Yatim dan ramai lagi.

Kesihatan Allahyarham mula terganggu sejak tiga tahun lalu apabila beliau sering keluar masuk hospital.

Pada 26 Ogos lalu beliau dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim kerana penyakit batu karang di dalam buah pinggangnya selain menghidap kencing manis dan paru-paru berair.

Semasa hayatnya, Allahyarham pernah berazam untuk meniru suara lebih 20 artis untuk memastikan apabila beliau tiada lagi, jasanya terhadap dunia hiburan akan dikenang sampai bila-bila.

Konsep yang dibawa Allahyarham dalam lawaknya dengan meniru suara pemimpin kerajaan seperti yang dilakukan pelawak di negara maju adalah sesuatu yang unik dan amat berbeza berbanding pelawak-pelawak yang ada pada hari ini.

Sindiran sinis dalam lawak jenakanya mampu mencuit perasaan penonton. Malah Allahyarham pernah berkata sampai bila seorang pelawak itu hendak disajikan dengan lawak-lawak bodoh dan ketinggalan zaman?

Dalam laporan akhbar Utusan Malaysia Allahyarham pernah menceritakan bagaimana beliau menyindir Samy Vellu dalam jenakanya tetapi Presiden MIC itu tidak marah sebaliknya ketawa melihat keletahnya itu.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez berkata persatuan itu menganggap pemergian Allahyarham sesuatu kehilangan yang amat besar.

Yusof bagaikan permata yang tidak boleh dicari ganti.

Tiga tahun lalu Karyawan telah memberikan pencen bulanan kepada arwah sebanyak RM500 sebulan serta berjaya mendapatkan sumbangan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebanyak RM10,000.

Malah ketika penderitaannya di siarkan di akhbar, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada beliau.

Sepanjang hayatnya ujar Freddie, Allahyarham merupakan seorang tokoh seniman yang amat baik dan aktif berpersatuan.

Walaupun mengalami keuzuran namun beliau tidak pernah mengetepikan sumbangannya di dalam apa juga aktiviti membabitkan dunia artis.

“Kehilangan beliau amat dirasi dan beliau tiada gantinya. Dunia seni amat sedih dengan pemergian Allahyarham,” kata Freddie.

Yusof menjadi bapa tunggal selepas kematian isterinya Zaleha Osman pada tahun 1994. Hasil perkahwinan beliau pada tahun 1974, mereka memperoleh lima orang anak iaitu Zaliana,32, Ita Zahirah,30, Ahmad Nuzul,28, Ahmad Shatri,24, dan Siti Nurbaya,20.

Allahyarham juga mempunyai tiga orang cucu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas solat terawih di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tua, Batu Caves, Selangor, pada Ahad.

Saya percaya mereka yang pernah menyaksikan aksi Allahyarham amat terasa dengan kehilangan beliau.

Rakan-rakan artis dan mereka yang senagkatan dengan arwah tentu sekali tidak dapat menahan hiba mengenangkan permata berhaga ini sudah tiada lagi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada bulan yang penuh mulia iaitu bulan yang dijanjikan Allah seribu satu rahmat.

Kepada Allahyarham, semoga Allah merahmati roh mu dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

mStar Online mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Al-Fatihah.
berita dari mStar Online -NIEZAM ABDULLAH

Kali terakhir bertemu arwah pada majlis perkahwinan anak beliau di Batu Caves. Ketika itu Yusof Chong tinggal di rumah kedai dan kebetulan ada padang awam di hadapan rumah kedai itu. Majlis berjalan dengan teratur sekali. Saudara mara dari Kedah, Pulau Pinang , Klang sama-sama memeriahkan majlis yang dihoskan oleh 'Aziz Kota'.


Mula berkunjung ke rumah arwah semenjak zaman kanak-kanak ketika arwah belum terlibat dengan dunia seni secara serius. Ketika itu arwah bekerja dengan Jabatan Perikanan. Isteri arwah , Zaleha Osman ialah saudara saya sebelah ayah, yang saya panggil Mak Njang kelahiran Pulau Aman, Pulau Pinang.


Arwah juga pernah berkunjung ke rumah ayah di Jengka kerana beliau rapat dengan ayah saya. Mereka selalu bercerita kisah-kisah lama. Berjam-jam bersembangpun tak apa bila bertemu. Mungkin di saat ini ayah saya belum mendapat berita pemergian, seorang kawan baik beliau yang terkenal.
Moga roh arwah dicucuri rahmat Allah .. Alfatihah.

Friday, December 11, 2009

SLE – Sistem imun terganggu



Sudah setahun dia pergi. Itu lah jawapan Hacksen tadi. Sungguh, aku tidak tahu dan memang terkejut. Sebentar tadi Hacksen berkunjung ke rumah setelah lama tak jumpa. Dapatlah berborak-borak.

Hacksen ialah kawan aku semasa di Maktab Perguruan Pasir Panjang. Dia junior satu semester. Aku kenal dia lama dulu sebelum masuk maktab. Ayah dia dan ayah aku sekampung dan mereka kawan sepermainan. Bila di maktab pelatih lelaki kena tinggal di rumah sewa dan aku pelawa dia untuk tinggal serumah di Wisma Seri Bayu.

Dia kahwin muda sebelum masuk maktab. Di peringkat awal dia tak bawa keluarga. Selepas itu barulah Hacksen bawa isterinya ke Kuala Terengganu. Sejak itu aku kenal isterinya. Dan baru tadi aku tahu isterinya telah meninggal setahun lepas kerana penyakit SLE.

Penyakit ini biasa aku dengar. Ia dikenali sebagai Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) – Sistem imun terganggu.Memang penyakit ini bahaya dan banyak orang yang tidak sedar tentang kehadiran penyakit ni.

Penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau singkatannya lupus adalah satu daripada gangguan sistem imun iaitu sistem yang melawan bahagian tertentu tubuh yang sepatutnya dilindungi.

SLE boleh merebak ke beberapa bahagian tubuh seperti sendi, kulit, buah pinggang, jantung, paru-paru, saluran darah dan otak.

Penyakit ini dipercayai menyerang lebih 90 peratus wanita, terutama selepas melahirkan anak, manakala 10 peratus lagi menyerang lelaki dan kanak-kanak.

Ia juga disebabkan gangguan kompleks dan sebabnya tidak diketahui. Ada berkemungkinan ia disebabkan faktor genetik, alam sekitar dan hormon yang bergabung dan menyebabkan SLE.

Setiap pesakit mempunyai simptom berbeza; bergantung pada ketahanan badan seseorang seperti bengkak sendi, demam yang tidak diketahui puncanya, keletihan dan keterlaluan yang kemudian disertai sejenis ruam merah iaitu ‘ruam rama-rama’ merentasi hidung dan pipi.

Antara simptom lain ialah sakit dada, keguguran rambut luar biasa, anemia, ulser mulut, sakit kepala, pening, kemurungan, kekeliruan dan sawan. Lupus mungkin susah dikenal pasti kerana sering menyerupai penyakit lain.

Bagaimanapun, tanda lupus berbeza antara setiap orang dan sesetengahnya lebih teruk daripada pesakit lain. Ada yang mengalami ulser mulut, sawan tanpa sebab, masalah mental, keguguran kandungan bayi yang kerap dan masalah buah pinggang.

Jika semua tanda ini berlaku, segera berjumpa dengan pakar SLE untuk mendapatkan rawatan pada peringkat awal.

Bukan hanya satu ujian boleh menentukan seseorang itu mengidap SLE, namun ujian makmal adalah paling baik untuk mengenal pasti auto antibodi tertentu yang sering ada dalam darah pesakit, contohnya ujian ‘antinuklear antibodi’ (ANA) selalunya digunakan untuk mencari ‘auto-antibodi’ yang bertindak terhadap nukleus sel badan.

Akhir sekali, doktor akan melihat gambaran keseluruhannya — sejarah perubatan, simptom dan keputusan ujian — untuk memastikan sama ada seseorang itu menghidap SLE atau tidak.

Rawatan yang digunakan untuk merawat penyakit ini adalah ubat anti keradangan bukan steroid (NSAIDs) bagi pesakit yang mengalami sakit sendi atau dada.

Bahkan ubat antimalaria yang pada asalnya digunakan untuk merawat malaria juga berguna untuk membantu mengatasi gejala keletihan, sakit sendi, ruam kulit dan radang paru-paru.

Selain itu, kortikosteroid boleh digunakan kerana ia bertindak dengan mengurangkan keradangan. Apabila buah pinggang atau sistem saraf pusat terbabit, sejenis ubat yang dipanggil ‘immuno-suppressive’ mungkin digunakan untuk mengawal sistem imun yang terlalu aktif.

Pemakanan untuk pesakit SLE secara amnya adalah sama seperti nasihat pemakanan bagi pesakit normal lain iaitu menekankan aspek pemakanan sihat dan seimbang.

Bagaimanapun, pengecualian diberi kepada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang akut iaitu keperluan protein perlu dikira. Kes sedemikian perlu dirujuk lebih awal kepada pegawai dietetik untuk nasihat pemakanan.

Pemakanan sihat dan seimbang adalah corak pemakanan yang membolehkan badan memperoleh kalori yang bersesuaian dan empat kunci kesihatan boleh membantu seseorang itu mencapai corak pemakanan sihat dan seimbang, iaitu amalan pemakanan sihat, mengamalkan gaya hidup sihat dan berkualiti serta berupaya mengatasi tekanan dan meningkatkan amalan bersenam untuk memperoleh tahap kesihatan unggul.

Secara amnya, panduan asas untuk pemakanan sihat ialah mempelbagai makanan, makan makanan seimbang dan sederhana. Ini dapat dicapai jika seseorang itu mengamalkan corak pemakanan berpandukan piramid makanan Malaysia.

Pesakit lupus sering kekurangan tenaga dan perlu mengawal kegunaan tenaga. Dapatkan nasihat petugas kesihatan mengenai cara menangani keletihan.

Pada umumnya, pesakit berasa lebih sihat jika mereka membahagikan masa antara rehat dengan kerja, di samping pengambilan ubat. Jika anda berasa murung, kaunseling boleh membantu.

Ada juga pakar kesihatan lain seperti pakar nefrologi, jurulatih carakerja, pakar dermatologi dan pegawai pemakanan dapat membantu anda daripada aspek lain penyakit lupus.

Bersenam antara cara terbaik untuk membantu menangani lupus, selain senaman dengan bantuan juru pulih anggota.

Pesakit dengan penyakit kronik seperti lupus atau berbincang dengan pakar SLE dulu sebelum memulakan program senaman. Pesakit yang berpengetahuan dan berusaha merancang penjagaan diri kurang mengadu kesakitan.

Wanita yang ingin merancang keluarga juga perlu berbincang dengan pakar SLE untuk mendapatkan pelan rawatan sesuai. Meskipun mempunyai simptom SLE, pesakit masih boleh mengekalkan kualiti hidup tinggi dengan cara belajar mengenali tanda amaran supaya langkah berkenaan boleh diambil untuk mengurangkan gejala penyakit.


Alternatif bagi perwatan moden untuk SLE ialah herba.Pengalaman PU HPA merawat pesakit SLE menunjukan kesembuhannya dan sangat bergantung kepada displin pesakit terhadap penggunaan herba.Ramai yang dirawat dengan pengubatan herba Jawi berhasil malah mereka sembuh keseluruhannya dan ada yang berkahwin(wanita) ,mengandung dan melahirkan anak yang sehat:-

Herba yang dicadangkan ialah:-
1. Teh herba (sehari 10 sachet/1 jag air panas) dihabiskan dalam masa sehari
2. Spirulina 5 x 3
3. Malac 5 x 3
4. Minyak but-but (lumuri badan dengan minyak but-but sentiasa)
5. Herba Tuju Angin 5x3
6. Ubat periuk alac (setengah cawan/3 kali/hari)
7. Ubat periuk Lohard (setengah cawan/3 kali/hari
8. Shark cartilage 6 kapsul waktu pagi sahaja.
9. Omega 3 kapsul 5x 3

Inilah cadangan HPA berikan kepada persakit SLE,jika dirasakan dosnya tinggi boleh dikurangi sedikit daripada cadangan.Tempoh rawatan 6 bulan dan perubahan akan dapat dilihat dari bulan ke bulan.

Takziah untuk Hacksen. Moga Roh isterinya dicucuri rahmat

sumber artikel SLE
ZULIATY ZULKIFFLI
am@hmetro.com.my
di dalam http://intim.wordpress.com/
dan perawatan herba

Tuesday, November 17, 2009

Kelopak Mata Bergerak-Gerak.




Kelopak mata bergerak-gerak sejak dua minggu yang lalu. Pelbagai pendapat orang tua dahulu berkenaan perkara ini. Orang tua-tua kata itu tandanya akan ada berita suka atau duka akan menyusul, misalnya orang nak mati. kalau yang bergerak itu kelopak mata kanan, ada saudara sebelah ayah yang meninggal, kalau sebelah kiri , ada sedara sebelah mak pulak yang meninggal.Hii.risau mendengarnya. Tapi itu kata orang tua-tua la. Bagi memahami situasi ini kita lihat pemahaman saintifik, agama dan juga kajian ilmiah yang lain.

Bagi pemahaman Saintifik.
Terdapat beberapa info yang menarik . Nama saintifik untuk penyakit ini adalah "myokymia". Mengikut kata-kata pakar masalah ini adalah akibat pergerakan otot di bahagian kelopak mata atas dan kadang-kadang di bahagian kelopak mata bawah bawah . Ia amat berkait rapat dengan stress , fatigue, kurang tidur dan overdose minum kopi. Ada pula orang kata , simptom ni sebab kurang vitamin . Mungkin juga tapi setakat ni effect sebab simptom ni tak teruk sangat kecuali menyusahkan pasal mata asyik bergerak jer. Aku tak minum kopi sangat, kalau minumpun Kopi Radix. Satu keluarga minum yang lain tak ada masalah, jadi aku rasa sebab penyakit ni terjadi kat aku bukan fasal itu.
Hasilnya yang saya dapat dari http://www.blogd.com/archives/000253.html.

Pemahaman agama

Aku lihat penulisan Ust zaharuddin yang meminta umat Islam jangan percaya tentang perkara yang tiada nas , bimbang kepada khurafat. Antara tulisan beliau “Malangnya tanpa disangka-sangka sebahagian orang Melayu kita telah secara tidak langsung hampir menjadi bomoh apabila turut suka meramalkan seusatu yang ghaib tanpa sebarang dalil syara' dan juga logik sains. Sebagai contoh :-
* Meramalkan jika kupu-kupu masuk ke dalam rumah, ia bermakna ada sesorang akan datang.
* Meramalkan masa depan si bayi dengan menentukan tempat tanam uri bayi tersebut
( selepas dilahirkan). Hingga ada yag percayakan bahwa jika di tanam di depan rumah beserta pensil sebatang maka dapat mencerahkan masa depan si anak. !.
* Meramalkan sesuatu yang buruk akan berlaku apabila cawan dan pinggan pecah atau kunci jatuh di ketika ingin keluar rumah.

di dalam http://www.zaharuddin.net/content/view/465/72/

Penulisan Ilmiah
Pernah dengar tentang sixth sense? ..banyak pula pembacaan yang saya jumpa membicarakan tentang naluri pancaindera keenam yang ada pada ramai orang misalnya pada orang buta. Sebuah laman web Negara jiran : bertajuk “Orang Buta Mempunyai Indera Keenam?
Den Haag - Sering kita mengetahui, bahwa banyak dari orang di sekitar kita yang mengalami kebutaan pada matanya, akan tetapi mempunyai kemandirian dalam melakukan segala sesuatu layaknya orang normal. Benarkah mereka mempunyai apa yang disebut indera keenam?

Sebuah penelitian yang dilakukan oleh University of Tilburg, Belanda, mengungkapkan bahawa memang bisa saja seseorang yang mengalami kebutaan total dapat berjalan dan melakukan sesuatu tanpa bantuan apapun. Sebab, meski mata mereka tidak normal, otak dan naluri mereka bekerja jauh lebih besar dari orang kebanyakan.

Oleh para ilmuwan tersebut ini yang disebut dengan "blindsight", sebuah kemampuan yang luar biasa dari beberapa orang buta untuk dapat "melihat", karena sebenarnya ada kemampuan untuk menerima gambar ke dalam otak mereka. Selain itu, dalam insting mereka dalam memahami keadaan sekitar juga menjadi penunjang bagaimana mereka bisa melihat.

Seperti yang dilansir Science Daily, Kamis (25/12/2008), ini menjadi bukti lain yang pasti, bahwa manusia secara tersembunyi mempuyai "intuisi" yang dapat mendeteksi aspek dunia di sekitar kita dengan cara yang tidak bisa diterima oleh logika. Inilah yang disebut dengan indera keenam.

Yang jelas, otak mempunyai peranan penting. Dengan otak, semua pesan yang masuk, baik berupa gambar, maupun suara akan bekerja. Meskipun, salah satu alat indera kita tidak bekerja maksimal.

Itulah kenapa orang buta bisa menjalani aktivitas secara normal, karena otak mereka masih bisa bekerja. Dan mungkin, kemampuan indera keenam mereka yang terbuka.
http://arsip.info/08_12_25_235032.html

Kesimpulannya..apakah maksud pada mataku yang bergerak-gerak ini. Ya Allah kau jauhkan dariku segala musibah.

walaahualam.

Saturday, August 1, 2009

Jaundis Neonatal (demam kuning)

Jaundis Neonatal (penyakit kuning bayi juga disebut demam kuning)

Jaundis Neonatal serang bayi baru lahir

Oleh DR ASMUNNI YAHYA
Pakar Perunding Paediatrik

JAUNDIS NEONATAL atau penyakit kuning bayi (juga disebut demam kuning) adalah perkara yang biasa terjadi di kalangan bayi pada minggu pertama kelahiran.

Lebih kurang 60 peratus bayi matang (lahir selepas genap 37 minggu kehamilan) dan 80 peratus bayi pramatang mengalami masalah ini. Jaundis pada bayi terjadi disebabkan pemendapan pigmen bilirubin di dalam tisu, menyebabkan kulit dan mata putih bayi kelihatan kuning.

Pada keadaan biasa, ada sedikit kuantiti bilirubin di dalam darah, tetapi apabila kuantiti bilirubin ini melebihi satu tahap (akibat sebab tertentu) pemendapan bilirubin ke tisu badan dan kulit akan berlaku.

Penyakit kuning bayi boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu penyakit kuning berkonjugat dan kuning tak berkonjugat.

Bilirubin tak berkonjugat adalah antara produk akhir yang terhasil melalui pemecahan sel darah merah yang tamat tempoh hayatnya. Bilirubin tak berkonjugat seterusnya akan diproses kepada bilirubin berkonjugat di hati dan kemudian akan disingkirkan dari badan melalui najis.

Bayi baru lahir mempunyai jumlah sel darah merah yang banyak. Tambahan pula, hati bayi baru lahir belum matang dan tidak dapat memproses bilirubin sepenuhnya, menyebabkan paras bilirubin di dalam darah meningkat dan seterusnya pemendapan berlaku di dalam kulit yang menyebabkan kekuningan.

Penyakit kuning tak berkonjugat

Sebilangan bayi sihat mengalami masalah kekuningan pada hari kedua dan menjadi nyata menjelang hari ketiga dan keempat selepas kelahiran.

Fenomena ini adalah masalah fisiologi tubuh badan bayi dan kuning ini dipanggil jaundis fisiologikal.

Masalah jaundis fisiologikal tidak berlaku dalam masa 24 jam pertama kelahiran dan tidak melebihi jangka masa dua minggu dalam bayi matang atau tiga minggu dalam bayi pramatang. Tahap bilirubin dalam darah juga tidak tinggi (iaitu kurang dari 250 mmol/L atau 12 mg/dL).

Beberapa punca boleh menyebabkan peningkatan paras bilirubin dalam tisu, antaranya:


Penyakit kekurangan enzim G6PD di dalam darah.


Ketidaksesuaian kumpulan darah antara ibu dan bayi - iaitu faktor rhesus atau ABO


Terlalu banyak sel darah merah (polycythemia)


Masalah kecederaan ketika lahir. Bayi yang lahir melalui kaedah vakum atau forsep mungkin mengalami masalah pendarahan di bawah bahagian kepala, sama ada di bawah selaput yang menutupi tulang tengkorak (cephalhaematoma) atau di bawah tisu lembut kepala (pendarahan subaponeurosis)

Semua masalah di atas akan menyebabkan pemecahan sel darah merah dan seterusnya jaundis. Penyakit kuning tak berkonjugat juga boleh berlaku kerana keadaan luar biasa seperti hypothyroidism, jangkitan kuman, ibu menyusu yang memakan jamu atau ubat tradisional tertentu, anak yang tidak menyusu secukupnya dan ‘breast milk jaundice’.

‘Breast milk jaundice’ boleh terjadi disebabkan kandungan susu ibu yang luar biasa dan mungkin mengandungi komponen ‘beta glukoronidase’ yang boleh merencatkan pemprosesan bilirubin tak berkonjugat kepada berkonjugat.

Penyakit kuning berkonjugat

Antara punca paling penting menyebabkan penyakit kuning berkonjugat adalah masalah biliary atresia, di mana saluran hempedu tidak normal dan tersekat.

Ini menyebabkan paras bilirubin berkonjugat meningkat di dalam darah. Tambahan pula, bilirubin berkonjugat yang terhasil tidak dapat disingkirkan melalui najis, seterusnya menyebabkan najis bayi kelihatan pucat keputihan dan air kencing berwarna gelap. Penyakit biliary atresia memerlukan rawatan pembedahan.

Kesan-kesan jaundis

Apabila tahap bilirubin tak berkonjugat tinggi, ia boleh melepasi lapisan darah-otak (blood brain barrier) dan termendap di sel-sel otak. Jika jaundis tidak dirawat, bayi boleh mengalami masalah pendengaran atau lebih teruk lagi masalah terencat akal (kernicterus).

Rawatan jaundis

Jika bayi anda kelihatan kuning, jumpalah doktor untuk pemeriksaan. Pemeriksaan darah akan dilakukan untuk menilai paras bilirubin di dalam darah. Berdasarkan keadaan bayi dan pemeriksaan darah, doktor kanak-kanak anda akan menilai sama ada rawatan susulan diperlukan.

Rawatan yang biasa dilakukan untuk bayi jaundis adalah rawatan fototerapi. Fototerapi adalah rawatan cahaya biru yang boleh menukar struktur bilirubin tak berkonjugat kepada lumirubin, di mana ia senang dikumuhkan di hati dan disingkirkan melalui najis.

Fototerapi perlu dilakukan berterusan; bayi didedahkan kepada cahaya biru ini tanpa pakaian dan mata bayi akan ditutup dengan penutup mata khas.

Rawatan fototerapi ini akan dihentikan apabila tahap bilirubin darah menurun ke tahap selamat. Rawatan fototerapi boleh dilakukan di hospital atau jika paras bilirubin tidak terlalu tinggi melalui ‘home phototherapy; di rumah anda.

Rawatan penukaran darah akan dilakukan apabila paras bilirubin tak berkonjugat dalam darah terlampau tinggi, iaitu melebihi 340mmol/L, walaupun setelah diberi rawatan fototerapi.

Jika anak anda sudah menerima rawatan fototerapi, pemeriksaan susulan perlu diadakan untuk memastikan tahap bilirubin tidak melambung semula.

Berbincanglah dengan doktor anda sama ada rawatan fototerapi masih diperlukan.

Bayi yang mempunyai paras bilirubin terlampau tinggi atau menerima rawatan penukaran darah perlu mendapat pemeriksaan susulan untuk pemeriksaan perkembangan dan ujian pendengaran.

sumbe:http://www.dbmhospital.com.my/home/morearticle.asp?articleid=20

ketika ini bayi ku sedang diberi rawatan homeopathy bila bacaan kuning melebihi 13. esok repeat check di hospital Jengka.

H1N1- selesema Babi -berapa orang akan mati?

Hingga 28,000 di M'sia mungkin mati akibat H1N1



Dianggarkan 5,500 hingga 28,000 rakyat Malaysia akan mati dalam wabak selesema A (H1N1) jika 20 peratus daripada 27.7 juta penduduk negara ini dijangkiti virus tersebut.

"Daripada angka ini (5.5 juta orang dijangkiti), jika kita anggarkan kadar kematian antara 0.1 hingga 0.5 peratus, kira-kira 5,500 hingga 28,000 penghidap selesema itu akan meninggal dunia," kata presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Dr David KL Quek memetik unjuran yang dibuat pengarah penyakit berjangkit Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tee Ah Sian dalam satu mesyuarat pasukan kebangsaan petugas khas menangani wabak itu, pada awal minggu ini.

Dalam perkembangan terkini, kadar kematian di seluruh dunia meningkat daripada 0.4 kepada 0.66 peratus.

Dr Quek mendedahkan maklumat itu dalam artikelnya "Flu measures: Confusion rather than non-compliance" yang diedarkan kepada beberapa media semalam. [Baca artikel penuh]

Beliau juga menekankan kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan, hospital, doktor di pusat kesihatan swasta dan orang ramai agar wabak ini dapat dikekang secara lebih berkesan.

Dr Quek juga menegaskan kepada semua pihak, termasuk media, agar tidak menuding jari kepada pengamal perubatan swasta atau beberapa pihak lain atas beberapa perkembangan terkini wabak itu.

Menurutnya lagi, wabak itu dijangka sekurang-kurangnya berlarutan antara satu hingga dua tahun sebelum reda - sama ada virusnya berubah dalam bentuk lebih lemah atau vaksin telah ditemui untuk membasminya.

Setakat ini, vaksin belum ditemui dan dijangka akan diperolehi hujung tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 10 peratus simpanan stok ubatan anti-virus 'Tamiflu' dan 'Relenza' buat masa ini tidak cukup memandangkan penularan ketara penyakit berjangkit itu.

Kerajaan akan memesan lagi bekalan ubat itu daripada WHO
bagi memastikan negara mempunyai bekalan ubat itu pada setiap masa bagi membendung wabak influenza A(H1N1), lapor Bernama.

"Melihat kepada trend penularan wabak itu yang semakin meningkat, kita perlu memesan ubat itu daripada WHO," beliau dipetik berkata selepas menghadiri Konvensyen MCA Pulau Pinang hari ini.

Tambahnya, kementerian turut menempah 200,000 dos vaksin influenza A (H1N1) dan dijangka mendapat bekalan itu menjelang akhir tahun ini.

Katanya tempahan tersebut terpaksa dilakukan awal kerana prosedur
menguji ubat itu mengambil masa sebelum dapat diberikan kepada pesakit.

Sementara itu, lapor agensi berita itu lagi, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata 19 kes baru H1N1 dilaporkan hari ini dan kesemuanya melibatkan rakyat Malaysia.

Jumlah terkumpul 1,390 kes, termasuk 816 kes atau 59 peratus melibatkan jangkitan tempatan.

"Daripada keseluruhan, 1,362 kes (98 peratus) telah sembuh, hanya 17 kes atau satu peratus sahaja sedang menerima rawatan antivirus di hospital.

"Lapan daripadanya berada di unit rawatan rapi (ICU), manakala 11 orang sedang menerima rawatan antiviral di rumah," katanya.

sumber : Malaysiakini 1 Ogos 2009 8:03pm

Tuesday, May 26, 2009

rokok CELAKA

Rokok ?ramai yg tahu ia haram, tapi masih bebas di pasaran..ada sorang kawan yg merokok sejak form five dulu berhujah..jantung tersumbat bukan saja dari rokok, roti canai , nasi lemak pun penyebabnya jugak...lantas kami berkata itu hujah pertahankan diri. Masalahnya dia dah jadi doktor ..maka cakap nya adalah sangat bernas bagi para perokok tegar atau budak nak akhil baligh yg baru nak belajar merokok. Jangan membazir duit wahai adik-adikku, berapa ramai perokok yg cuba berazam nak berhenti ..dan itulah azam mereka sejak berpuluh-puluh tahun tapi tak mampu untuk berentipun....ingatlah tiada penagih dadah yang bermula dari tidak merokok. Jangan masuk perangkap yang tiada jalan keluar...