Followers

nuffnang

Sunday, April 22, 2012

Sayuti Zainorrdin yang ku kenal, Alfatihah...


Pagi ini baru terbaca dalam Facebook  tentang pemergian ke rahmatullah seorang sahabat dari Jengka 21. Saudara Sayuti Zainordin telah kembali kerahmatullah pada 21 April 2012. Khabarnya arwah mendapat serangan jantung akibat terkejut kerana kematian ibunya pada hari yang sama.


Allah Maha Berkuasa terhadap sesuatu. Bagi keluarga Allahyarham tentunya lebih terasa apabila kehilangan dua insan tersayang dalam hari yang sama. Aku sungguh terkejut tentang berita ini. Arwah dan ibunya ku kenal  dan mesra sejak zaman persekolahan lagi. 

Arwah ialah 'junior'  ketika aku bersekolah. Walaupun junior, keaktifannya bersukan menyebabkan dia popular kepada seluruh warga sekolah. Kalau di bidang olahraga kudratnya menyaingi kami yang di kelas tingkatan yang lebih atas. Kami juga selalu bermain bolasepak bersama. Malah dengan bolasepaklah kami lebih akrab sehingga lepas sekolah.. 

Pasukan Belia Jengka 21 di tahun hujung 1980an dan 90an adalah medan terbaik arwah berkecimpung dan memimpin. Minatnya dengan bolasepak menyebabkan beliau tidak kisah tenaga dan tidak lokek wang ringgit  bertindak sebagai pemain, jurulatih dan pengurus pasukan sekaligus. 

Beliau berjaya dengan pantas mengumpul pemain untuk sebarang kejohanan liga, 7-sebelah, 9-sebelah dan sebagainya. Aku jarang dilupakan untuk posisi sayap kiri. Ketika itu hanya aku  menggunakan kaki kiri dalam pasukan kami. Maka kami akan bergerak ke merata lokasi dengan van 'Liteace' ayahnya.


Gambar ini ialah kenangan ketika menyaksikan 'final' Piala Malaysia tahun 1992. Kami sama-sama turun dari Pahang ke Stadium Merdeka, tetapi tahun itu aku menyokong pasukan Hijau Kuning. Arwah tekal dengan pasukan Tok Gajah.

Kerjasama kami diteruskan dalam kepimpinan belia M.A.Y.C.  Ketika aku Penolong Setiausaha, Arwah adalah AJK Biro Sukan. Banyak program kami jalankan bersama. Kemudian apabila generasi kami berhijrah keluar sekitar tahun 1993 kerana menyambung pelajaran dan berkerja di luar Felda, arwah menerajui kepimpinan belia tersebut sehingga tahun ini. 

Sebelum aku masuk maktab perguruan keluarga Allahyarham menguruskan perniagaan Kantin di SK Jengka 21. Ketika bertugas 3 bulan di situ kerap jugalah makan 'free' dan ketika mendapat surat tawaran ke Maktab Perguruan ibu arwah sangat gembira dan menghulurkan RM50 buat belanja. Aku sangat ingat peristiwa itu serta kebaikan arwah dan keluarganya.


Sepanjang di Maktab, peluang bermain bolasepak bersama 'team' Jengka hanya hadir waktu cuti. Ketika itu jika ada kejohanan masih ada Sayuti menghubungi. Tetapi apabila 'posting', kahwin dan berpindah.. dan kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah masaku terhadap bolasepak kian terbatas. Staminapun makin kurang. Posisi sayap kiri itupun sudah ada pengganti yang lebih muda dan bertenaga.

Malah di tahun 2000, setelah mendapat cahaya mata, aku terus menggantung 'boot'. Kami jarang lagi berjumpa dan dapat bersua sekali-sekala bertanya khabar khasnya ketika Aidilfitri. 

Kini kedua-duanya telahpun pergi. Semoga arwah Sayuti dan Arwah ibunya mendapat kerahmatan Allah dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh di sana............Al-Fatihah.



Monday, April 2, 2012

Udang Galah Sungai Pahang

Hari ni ada rezeki udang galah. Banyak lagi udang galah dalam Sungai Pahang rupanya. Isteri saya bawa balik dari rumah pengasuh. Banyak juga hampir sekilo. Saya tidak pernah memancing udang  dalam sungai. Kalau kolam pernah lah juga tapi tidak berbaloi dengan ringgit yang keluar.


Masa kecil-kecil dulu,  pernah menyauk udang dalam sungai masa berkelah di Tualang Bok. Tapi bukanlah udang galah. Hanya anak-anak udang. Pengalaman memperolehi udang dengan usaha sendiri tu sangat menyeronokkan. Biasanya kami masak bersama sayur dan makan dengan nasi panas-panas, fuh ... itu cerita 30 tahun dulu. Sekarang Tualang Bok, satu kawasan terpencil di daerah Baling Kedah tu rasanya tak ada lagi kot...


Memang saya tiada skill memancing udang. Skil makan udang memang ada. Ha ha..sampai isteri saya selalu peringatkan tentang kolesterol!.. Sebabnya, kalau ke Temerloh kerap juga singgah makan udang galah masak lemak di tepi Highway di Bukit Angin tepi Jambatan Temerloh tu. Memang sedap. Hari ini dapat makan udang galah pancing dari Paya Pasir, salah satu tempat memancing yang famous di susur Sungai Pahang.

Saturday, March 31, 2012

Arnab dalam lubang

Hujung minggu ni cadangnya mau masukkan tanah ke dalam polybag. Nak tanam pokok belakang rumah. Ada benih cili dan kailan sikit. 


Tak sangka tengah menyangkul terjumpa anak-anak arnab yang comel sedang tidur. Tidak pasti  bila masa ada 4 ekor anak arnab dalam lubang tu. Memang dua bulan lepas arnab betina yang anak-anak saya panggil 'Blue' beranak. Tapi 2 hari lepas tu rasanya semua anak-anaknya mati. Tak pasti anak-anak arnab ini adakah yang baru beranak atau saki baki yang dulu berjaya diselamatkan oleh Blue.Lihat saiz yang ini seperti usia 3 minggu.


Selepas anak arnab mati tempohari, memang 'Red' dan 'Blue' di biarkan bebas keluar dari reban. Mereka akan masuk reban untuk makan pellet dan minum sahaja. Tidak sangka lubang yang dikorek itu jadi tempat anaknya bersarang sehingga sebesar itu sekarang. 


Lepas ni kena buat reban yang lebih besar nampaknya.. Tapi kesukaran yang dijangka ialah bagaimana mahu menguruskan anak-anak arnab ini, terutama penyusuan dan keselamatan dari kucing. 'Blue' seolah tidak peduli pada anak-anaknya....


dan tak ada kerja lainlah anak-anak lepas ini... Asilah, Adeeb , Ijah dan Alyaa asyik membelek anak-anak arnab sahaja. Nasib baik hujung minggu cuti sekolah. Mengusung ke dalam rumah dan masing-masing berebut nak memegang arnab. Tapi tak apalah ada juga keasyikan selain bermain games.


Daun 'Rumput Israel' kesukaan arnab pun banyak rupanya di sekitar rumah. Bolehlah ditukar-tukar dengan pellet yang harganya pun dah berapa ringgit sekarang..




Wednesday, March 28, 2012

Projek Multimedia Kedua

Sempena persaraan En Saidin bin Baharum, seorang pekerja di sekolah SKJP2 pada 26 Mac 2012, aku telah diamanahkan menghasilkan satu persembahan multimedia. Ini ialah projek kedua selepas persembahan di malam Seribu Epilog November 2011. Kali pertama dulu menggunakan movie maker dan kali ini mencuba  power director. Itupun versi 2. Memang banyak kelemahan kerana semuanya try and error. Aku tidak pernah berkursus di mana-mana tentang persembahan multimedia. Dek kerana minat dan ingin mencuba sesuatu yang baharu aku menyahut cabaran dan melakukan  sekadar yang termampu. 



Wednesday, March 14, 2012

Jengka, Pahang yang patut anda tahu.



Saya sudah menetap di Jengka hampir 30 tahun. Mulai zaman kanak-kanak hinggalah dewasa kini telah bekerja dan bermastautin di Jengka. Perkembangan di Jengka dapat dilihat depan mata. Mulai saat-saat sukar sehinggalah kemajuan pesatnya kini. Saya juga pernah mengkaji perkaitan Jengka dengan Felda sewaktu membuat Kajian Ilmiah Peringkat Ijazah Pertama dulu. Sampailah masa saya ingin memuatkan sedikit info berkaitan Jengka untuk dikongsi bersama pembaca. Bukanlah terperinci sekadar ringkasan.


Jengka ialah gugusan FELDA terbesar di Malaysia yang terletak di negeri Pahang Darul Makmur. Gugusan Jengka juga dikenali sebagai Segitiga Jengka kerana kedudukannya meliputi tiga daerah iaitu Temerloh, Jerantut dan Maran. Di tengah-tengah gugusan rancangan FELDA ini, maka muncul sebuah bandar baru iaitu Bandar Jengka yang kini di masyhurkan sebagai Bandar Tun Abdul Razak Jengka sempena perdana menteri Malaysia yang kedua yang memainkan peranan penting kepada penubuhan Felda. Bandar Jengka kini pesat membangun dengan kelengkapan unit kedai, bank, hospital, pejabat kerajaan, pusat pengajian tinggi, pasar, sekolah, hotel dan homestay juga kilang-kilang makananan, komoditi dan elektronik , serta tempat- tempat rekreasi perkhemahan.


Gugusan Jengka terdiri daripada 25 buah rancangan FELDA yang menjadi pengeluar sawit dan getah. Terdapat 25 buah Jengka yang ditandai dengan nombor 1 hingga 25. Di samping nombor yang diberikan berdasarkan kawasan yang lebih awal dibuka, Jengka-jengka tersebut juga diberikan nama mengikut nama bunga. Pemilihan nama bunga juga adalah mengikut abjad bagi mengenalpasti kawasan yang lebih awal dibuka. 


Oleh itu satu-satu Jengka itu dinamakan sebagai Jengka 1 (Anggerik), Jengka 2(Cempaka), Jengka 3 (Dahlia), Jengka 4 (Kemboja), Jengka 5 (Kekwa), Jengka 6, Jengka 7, Jengka 8 (Kesidang), Jengka 9 (Kesumba), Jengka 10(Mawar), Jengka 11 (Melati), Jengka 12, Jengka 13 (Putri Malu), Jengka 14 (Raya), Jengka 15 (Semarak), Jengka 16 (Sena), Jengka 17 (Seri Pagi), Jengka 18 (Seroja), Jengka 19 (Siantan), Jengka 20 (Tanjung), Jengka 21(Teratai), Jengka 22(Terkis), Jengka 23 (Tonkin), Jengka 24, dan Jengka 25. Hal ini bermakna Jengka yang pertama dibuka ialah Jengka 1 manakala Jengka yang terakhir dibuka ialah Jengka 25.dalam kawasan jengka juga terdapat tanah rancangan felda yang tidak menggunakan nama jengka, kerana ia di tubuhkan lebih dahulu dari jengka itu sendiri. Di antaranya felda Kampong Awah 1963, felda Ulu Jempol 1965, felda Sungai Nerek 1967.


Setiap kawasan pertempatan Jengka mengandungi antara 300 hingga 600 buah keluarga. Manakala di bandar Tun Abdul Razak Jengka telah wujud beberapa Taman Perumahan seperti Rantau Perintis, Taman Desa Jaya 1 dan 2, Taman Permatang Syah Bandar, Taman Jengka Impian, Taman Jengka Mahkota serta rumah Kakitangan Guru, Uitm, Bomba, hospital dan lain-lain. Pemastautin di Bandar Jengka sahaja telah menjangkau 12,912 ( bancian 2010).







Nama Jengka pula diambil daripada sebatang sungai yang mengalir di dalam kawasan Jengka iaitu Sungai Jengka. Terdapat dua pendapat yang menceritakan asal usul nama 'Jengka' iaitu:



Mitos 1 Diceritakan tinggal sepasang suami isteri Orang Asli yang tinggal di sebuah teratak berhampiran dengan sebatang sungai yang mengalir deras. Si suami memang bijak memburu, lantaran seharian beliau keluar mencari rezeki. Manakala si isteri pula, sambil menunggu kepulangan suaminya, bertenun kainlah sepanjang hari. Adapun alat yang digunakan oleh isterinya dipanggil jangka . Entah bagaimana pada suatu hari jatuhlah jangka itu ke dalam air, menangislah si isteri sehingga kepulangan suaminya. Mencarilah si suami apabila pulang, namun tidak menjumpainya, dan akhirnya ia dinamakan Sungai Jengka berdasarkan peristiwa ini.



Mitos 2 Adapun pada suatu hari, seorang perempuan asli telah terkena kerasukan yang amat teruk. Dia langsung tidak boleh menjejak tanah. Lantaran tok batin tempat tersebut berusaha untuk mengubatinya. Maka, dalam tafsirannya pesakit tadi perlu di bawa ke sebatang sungai tidak bernama untuk dimandikan. Lantara sebatang sungai yang mengalir deras telah dipilih di tengah rimba. Apabila mencecahnya kaki pesakit tadi ke air, ternampaklah orang ramai satu kelibat di dalam air. Maka berkatalah orang ramai “Jin ke tu?”. Dari sinilah Jengka mendapat nama.


Para peneroka datang daripada seluruh Malaysia. Justeru dapat dilihat keunikan budaya di Jengka kerana adat dan budaya yang bercampur-campur diamalkan di Jengka memandangkan para pendatang ini mengekalkan adat dan budaya kampung asal masing-masing. Terdapat juga peneroka dari kalangan kaum Cina dan kaum India namun majoriti peneroka adalah kalangan kaum Melayu. 


Terdapat beberapa Mercu Tanda dan destinasi menarik berhampiran kawasan jengka, antaranya ialah Pusat Pengajian Tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UItm) dan Matrikulasi Teknik, Pusat Latihan Pertanian Tun Abdur Razak(Tekam Plantation Resort) yang menawarkan pelancongan bertemakan pertanian, kompleks gua Kota Gelanggi, dan rangkaian gua-gua di Gunung Senyum.berhampiran dengan Felda Ulu Jempol terdapat satu kawasan pelancungan air terjun, Lubuk Yu. Kedinginan airnya dan kehijauan hutannya telah menarik ratusan pengunjung pada hujung minggu kedudukannya hanya 15km dari Bandar Jengka. 


rujukan : artikel dalam http://virtualfriends.net/

Saturday, March 10, 2012

SBPA batal

Pengumuman yang ditunggu oleh kakitangan awam selama ini terjawab apabila SBPA yang ditandatangani hujung tahun dulu diumumkan batal oleh PM. Banyak sudah komentar orang ramai tentang isu ini dalam laman sosial, blog dan sebagainya. Malaslah nak ulas lagi. Cuma yang boleh boleh analisis gaji sendiri je lah hee..

Ketika tandatangan SBPA gaji saya dalam skim SSM di  P2 T14- RM3020. Ketika itu SBPA tidak beri kenaikan gaji, terus ke tangga terdekat  iaitu RM3275,(kenaikan RM255). Tarikh pergerakan gaji akan dianjak dari Januari ke April. Jadi pada bulan April jika SBPA berjalan gaji saya akan menjadi RM3500. dan tahun 2013 ~ RM3725, Tahun 2014 ~RM3950. Begitulah perkiraan yg saya rasa juga dicongak-congak oleh semua anggota perkhidmatan awam yang lain.


Apabila SBPA dibatalkan dan SSM dipakai semula dengan kenaikan 13%. Gaji 2012 saya pada Januari akan menjadi  RM3520.12 . Jika di banding diperingkat awal SBPA nampak macam tiada beza malah lebih baik kerana dalam SBPA  hanya RM3500 , tetapi bila lihat setahun dua di hadapan iaitu tahun 2013~ RM3627.04 . Tahun 2014 ~RM3803.15 baru nampak kerugiannya.


Ringkasan 

                   SSM lama            SBPA                   SSM baru
2012  -    RM3115.15          RM3500.00         RM3520.12
2013  -    RM3209.77          RM3725.00         RM3627.04
2014  -    RM3365.62          RM3950.00         RM3803.15

Maka kenaikan tahunan telah menjadi berkurang kerana dalam SBPA kenaikan Skim Siswazah sebanyak RM225 sedangkan dalam SSM hanya seratus lebih. Walaupun elaun Cola dinaikkan sebanyak RM50, ia masih belum menyamai lagi Skim SBPA.

Harap-harap CUEPACS selepas ini dapat berunding ke arah lebih baik bukannya mengurangkan apa yang patut dapat. Walau bagaimanapun saya berterima kasih kepada usaha penambahbaikan sistem perkhidmatan awam oleh kerajaan dan bersyukur pada  rezeki yang Allah berikan. Moga ia akan menjadi berkat untuk kesejahteraan dunia dan akhirat.

Wednesday, February 22, 2012

Masalah Air Serius


Mana tahan ..setiap minggu tak ada air, nak mandi , nak basuh baju, nak berak kencing, nak basuh pinggan mangkuk ..aduh sudahlah saban minggu sibuk bekerja. Hujung minggu selambak kain baju pinggan mangkuk tak settle. Masalah ini sudah lama dan tak nampak langkah proaktif pihak berwajib. Cuma sedap ditelinga masa Pilihan Raya Kecil  Kerdau PM umum RM 9.25 juta untuk naik taraf loji air Batu Sawar. Ingatkan selesailah masalah.

Kini sudah setahun berlalu dan kini  pilihanraya Umum pula bakal diadakan bila-bila masa. Apa lagi gula-gula nak di umumkan? Masalah air yang asas pun tak dapat selesai. Tak payah bising-bising Kelantan ada masalah air, negeri PM sendiripun ada masalah air. Sungai Pahangpun terpanjang di Semenanjung. Jangan pandang enteng lah! Aku dah bosan!! Aku nak mandi !!

Sunday, January 15, 2012

Kesibukan Awal Tahun

Seperti biasa rutin harian ku menjadi sibuk sekali di awal tahun. Bukan senang menyesuaikan kembali waktu bekerja setelah lama bercuti. Kelam kabut di awal pagi dan juga waktu tengahari ke sekolah agama di Tahfiz. Gara2 anak-anak kadang-kadang menyebabkan terpaksa meninggi suara.


Program -program juga telah bermula. Mesyuarat-mesyuarat kurikulum, Hal Ehwal Murid, Ko Kurikulum juga Panatia telah berlangsung berturut hari. Malah Kursus Kepimpinan Pengawas telah selesai minggu pertama ini. Lebih parah apabila sekolah sekali lagi tercalon untuk menerima Anugerah New Deals di bawah KPI Kementerian Pelajaran Malaysia. Banyak yang perlu diselesaikan bagi persediaan Pemantauan Jemaah Nazir mulai esok  16 Januari.


Kelam kabut ini juga cabaran terhadap azam tahun baru tahun ini iaitu Memperbaiki Pengurusan Masa.  Ujian bertimpa bila seluruh keluarga demam-selsema dan batuk tak sembuh-sembuh sejak hujung cuti tahun lepas.