Followers

nuffnang

Sunday, April 24, 2011

Sudu Harga Lima Sen dan Basikal Tua

Hendak berkongsi pengalaman di tahun 1979 ketika aku mula masuk darjah satu, dan tahun-tahun berikutnya yang sangat manis untuk dikenang. Semuanya kerana sudu dan basikal tua. Dua objek menarik yang bila terpandang mengingatkan kisah silam.

Rupanya masa itu baru sahaja kajian semula dasar pelajaran sedang di perakukan (Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 mengkaji dasar pelajaran). Di antara syornya ialah pemakanan tambahan kepada murid sekolah rendah yang di kendalikan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Kami mungkin kumpulan terawal memperolehi rancangan makanan tambahan tersebut. Sekarang inipun bantuan tersebut masih berjalan , dikenali sebagai Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kelolaan Kementerian Pelajaran.


Waktu itu, sekolah rendah yang aku bersekolah yang agak pedalaman, mungkin terlalu ramai yang layak menyebabkan kesukaran memilih pelajar. Sekolah telah melaksanakan satu sistem yang agak unik, iaitu jual sudu. Harganya 5 sen. Ia juga dilihat sebagai galakan pelajar datang awal ke sekolah. Maknanya siapa yang berhajat kepada makanan tambahan perlu lekas-lekas hadir ke sekolah dapatkan dari pengawas yang bertugas.


Sudu mula dijual sebelum loceng pertama berbunyi. Inilah masalahnya, biasanya aku banyak tidak dapat daripada dapat. Maklumlah berjalan kaki dari rumah menelurusi sawah padi, kebun getah, kampung, deretan kedai, masjid, kawasan kubur baharulah sampai ke sekolah. Punyalah jauh nak ke sekolah.


Bila dah pandai naik basikal bolehlah bawa basikal bapa ke sekolah. Ketika inilah agak kerap dapat peluang beli sudu. Tapi basikal tua tu tinggi, macam basikal Usop Wilcha naik dalam Filem Hantu Mak Limah Balik Kampung. Jadi, kebanyakan naik celah galang. he.. he.. mana ada orang naik macam tu lagi sekarang. Susah betul nak imbang badan. Kerap kali di peringkat awal jatuh ke dalam bendang ketika melalui batas-batas padi. Inilah antara pengalaman indah zaman kanak-kanak ku.



Lama juga naik macam tu sehingga kaki tinggi sikit naik betul-betul duduk atas pelana. Bila keputusan Penilaian Darjah Lima keluar dapat 3A. Bapa belikan hadiah basikal BMX, warna biru. Sayang betul basikal baru ku itu. Lebih kurang beginilah basikal tu tapi berpalang. Selepas 5 tahun baru basikal tu rosak jadi besi buruk.

Sesungguhnya pegalaman silam adalah lampu suluh pada denai jalan di hadapan..............

1 comment:

  1. susah zaman dahulu kerana tak punyai wang, walau harga barang murah, susahnya sekarang nilai wang yang mengecil.. sekali makan hampir RM10. Sesekali berbelanja note RM50 akan habis..simpanan pun tak sempat, cukup bulan habis gaji...susah zaman ini INFLASI!

    ReplyDelete