Followers

nuffnang

Thursday, December 24, 2009

Re Union di Terengganu



19 dan 20 Disember 2009 aku dan keluarga hadir ke majlis re union bekas pelatih MPPP sessi Julai 1993-95. Program diadakan di Kuala Terengganu. Sampai sudah agak lewat. Bertolak selepas isteri habis peperiksaan jam 12.30 ptg. Sampai ke Kuala Terengganu sudah jam 8.00 malam.



Kami bertolak ke rumah Rosnani, Unit Math untuk jamuan BBQ. Di sana kumpulan rakan-rakan dari Terengganu sudah ada yang menunggu di situ.Sebahagian lagi datang kemudian selepas itu. Memang meriah..semua lebih tertumpu untuk berbual dengan kawan-kawan daripada menghadap makanan. Masing-masing teruja bila berjumpa sahabat yang telah 14 tahun berpisah.



aku balik ke bilik di Dara Inn, bila baby sudah mengamuk mengantuk. Kawan-kawan terus berbual dan ada yang sambung di Chalet sehingga pagi.



pagi 20 Disember, bertolak ke MPPP. Maktab yang telah menjadi Sekolah Menengah Sains. Suasana agak suram, latar MPPP sudah jauh berbeza ketika kami menjadi pelatih dulu.



Beberapa lokasi penting dan penuh kenangan sempat aku jenguk dan ceritakan pada isteri anak-anak. Di sinilah tempat itu dan tempat ini..perhimpunan, bilik kuliah, tempat main bola dan hoki dan macam-macam..



Aktiviti diteruskan di dalam Dewan yang dulu dikenali Dewan Nadwah. Masa melapor diri 1993 dewan ini begitu meriah. Sessi ucapan penuh emosi, bila mana ada yang pelbagai gaya , memperkenalkan diri dan keluarga. Ada yang girang dan sebak.



Sesi diteruskan dengan nyanyian lagu maktab..walaupun separuh lupa tetapi bila ramai-ramai menyanyi lagu maktab menjadi sempurna dinyanyikan.Salute untuk semua.
Akhir sekali bergambar beramai-ramai bersama-sama dengan Tn Hj Khairuddin, Pn Hjh Rogayah dan Pn Hjh Wan Hasnah..mantan pensyarah MPPP.



Petang sessi lawatan ke Taman Tamaddun Islam. Gambar tak sempat dimuat naik.Namun sebelum balik sempatlah melawat ke Batu Buruk, Masjid Terapung dan kedai di pinggir Bukit Puteri.






Silaturrahim melalui reunion



Alangkah gembira jika kita dapat kembali ke masa lalu. Kita dapat rasai kembali suasana yang dulu, manis dan gembira. Mungkin dapat perbaiki kisah duka dan kesilapan silam. Tetapi itu adalah tidak mungkin walaupun ada sutradara mengkhayalkan di dalam filem mereka. Paling hampir kita menjenguk masa silam ialah dapat menemukan sahabat lama ke latar tempat yang sama pernah kita lalui dulu. Kerana menghimpunan watak dan latar lama lampau secara bersama akan dapat mencungkil kembali kisah-kisah lama tersebut.

Bukan mudah memanggil memori yang sudah hilang dek jarak lama masa berlalu dan banyaknya ceritera baru menimpa kita saban hari menenggelamkan kisah lama. Suis kenangan begitu mudah dihidupkan pabila bersama kenalan lampau kita. Kisah lalu, nama sahabat lama,tragedi dan sebagainya secara automatik terpacul walaupun sebenar terpadam dalam fikiran sejak berdekad lama.

Perjumpaan dengan rakan lama menjadi satu trend sekarang.Ia umpama tarikan magnet. Keinginan ingin menghadirkan diri begitu kuat. Kerana kita ingin melepaskan rindu, ingin mengetahui cerita baru, perkembangan sahabat, yang sudah berjaya dalam kerjaya, sahabat yang telah pergi dulu,bahkan ada yang ingin mencari peluang baru dalam bisnes. Tidak kisahlah apa tujuan utama dan sampingan mereka. Yang penting semua ingin berjumpa semula sahabat lama.

Namun ada di kalangan sahabat yang memencilkan diri. Walaupun keinginan bertemu sahabat lama begitu kuat namun ada faktor menolak yang membataskan mereka. Di antara faktor utama apabila mereka merasakan kekurangan dari segi pencapaian kerjaya dan ekonomi, kekurangan sosial seperti belum berkahwin, belum dikurniakan cahaya mata dan kegagalan perkahwinan. Perasaan rendah diri menyebabkan mereka mengelakkan diri.

Oleh itu, sebagai sahabat lama yang menginginkan silaturrahim terus terjalin melalui program reunion perlu merancang menemukan sahabat dalam bentuk tidak mendedahkan kekurangan sahabat kita. Elakkan aktiviti yang mengguris hati. Bagi diri kita yang mungkin merasakan ada kekurangan perlu berfikiran positif dan bersangka baik bahawa objektif membuat reunion ialah untuk menemukan sahabat dan kenangan lama. Lupakanlah kekurangan jika ada dan ingat bahawa rezeki kita belum sampai untuk menjadi seperti rakan -rakan yang lain.

Selain itu, komitmen tehadap pelbagai perkara turut membatas penyertaan jika tidak kena masa dan tarikh. Kemungkinan ada sahabat terpaksa memberikan masa mereka terhadap perkara lain yang lebih utama misalnya majlis perkahwinan, peperiksaan dan sebagainya. Ada juga yang memang kesempitan kewangan terpaksa mengelak pada aktiviti yang tidak termasuk di dalam perancangan tahunan mereka.Oleh itu perancangan awal sangat penting menguruskan masa masing-masing.

Tidak dinafikan ada sahabat yang bahagia dengan kehidupan baru tidak berkeinginan langsung berjumpa rakan-rakan lama. Mereka merasakan program reunion ini membuang masa dan sejarah silam sangat buruk untuk dikenangkan. Kes seperti rasanya sangat terpencil kerana tidak mungkin sepanjang bertahun bersama tiada kisah suka melainkan duka, atau tiada langsung kawan yang menjadi sahabat baik walau seketika.

Kesimpulannya, program reunion sangat baik untuk menjalinkan silaturrahim sesama kita lantaran jarak masa dan usia kian menginjakkan diri kita dilandasan kehidupan masing-masing. Komitmen semua sangat penting bagi kejayaan sesuatu program reunion. Jika semua berfikiran positif dan ada individu yang sanggup menjadi leader atau pemula maka akan berjayalah sesuatu program.

Monday, December 14, 2009

Graduasi Pra Sekolah 2009

majlis graduasi 2009 untuk pra sekolah. Adeeb Ridhwan dalam video.



video penuh dalam http://sebelum-mata-terlena.blogspot.com/2009/12/graduasi-pra-sekolah-2009.html

Sunday, December 13, 2009

masam je..senyum sikit !! part 2

Tok Imam vs 3 malaun ......



Di sebuah kg ada 3 org remaja yg suka lepak. Sorang tu nama dia Ali, sorang tu Budin dan sorang lagi Ciko. Aktiviti seharian depa ni menybbkan tok imam tak senang duduk. Pada satu hari tok imam tu datang dengan niat nak tarbiyah depa ni.

Maka berlakulah beberapa insiden cabar-mencabar. Tok imam tu cabar si mangkuk 3 ekor tu ke surau waktu Maghrib nanti.

Si Ali pun berkata, "Tok imam ingat kami ni jahil sangat ke? Takpa, nanti kami buktikan yg kami bukan la jahil sangat seperti yang disangkakan" .

Maka apabila hampir masuk waktu Maghrib pegilah malaun 3 ekor tu ke surau.

Tok imam pun suruh Ali azan. Tanpa berlengah terus je Ali azan, "Allah Ta'ala... Allah Ta'ala...". Dengan segera tok imam merampas mikrofon daripada Ali dan menyuruh Tok Bilal azan semula. Terserlah kejahilan Ali.

Selepas iqamat, masa nak sembahyang tok imam pun mengangkat takbiratul ihram. Tok imam pun satu hal, angkat sekali tak khusyuk, angkat 2 kali pun tak khusyuk jugak lagi...

Masuk je kali ketiga, Budin panggil tok imam. "Tok,tok duduk kat belakang, biar saya jadi imam." Tok imam pun undur le ke belakang.

Budin pun angkat le takbiratul ihram. "Allahu akbar!" Maka para makmum pun ikut angkat takbiratul ihram & memulakan solat. Tiba-tiba je si Budin ni pusing ke belakang dan berkata, "Aaa, tengok! Sekali jee tokkkk!!" Lalu batallah solat Budin. Yg lain-lain pun ikut berenti sambil ketawa terbahak-bahak.

Tok imam pun mintak pulak si Ciko jadi imam. Si Ciko pun terus ke depan jadi imam solat tersebut bermula dari takbir sampai le habis sembahyang. Siap dgn wirid-wiridnya sekali. Punyalah respek tok imam kat si Ciko niii...

Lepas solat, tok imam pun puji-memuji leee si Ciko ni... Tapi dgn bongkaknye si Ciko berkata,

"He hee, itu belum ambil wuduk lagi tu.Kalau tak, lagi dassat aku semayang. He heee..."

Tok imam pun terkedu & terpana-pana....

credit to abang mie wrc 2 (a) http://mppp1989.blogspot.com

Friday, December 11, 2009

SLE – Sistem imun terganggu



Sudah setahun dia pergi. Itu lah jawapan Hacksen tadi. Sungguh, aku tidak tahu dan memang terkejut. Sebentar tadi Hacksen berkunjung ke rumah setelah lama tak jumpa. Dapatlah berborak-borak.

Hacksen ialah kawan aku semasa di Maktab Perguruan Pasir Panjang. Dia junior satu semester. Aku kenal dia lama dulu sebelum masuk maktab. Ayah dia dan ayah aku sekampung dan mereka kawan sepermainan. Bila di maktab pelatih lelaki kena tinggal di rumah sewa dan aku pelawa dia untuk tinggal serumah di Wisma Seri Bayu.

Dia kahwin muda sebelum masuk maktab. Di peringkat awal dia tak bawa keluarga. Selepas itu barulah Hacksen bawa isterinya ke Kuala Terengganu. Sejak itu aku kenal isterinya. Dan baru tadi aku tahu isterinya telah meninggal setahun lepas kerana penyakit SLE.

Penyakit ini biasa aku dengar. Ia dikenali sebagai Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) – Sistem imun terganggu.Memang penyakit ini bahaya dan banyak orang yang tidak sedar tentang kehadiran penyakit ni.

Penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau singkatannya lupus adalah satu daripada gangguan sistem imun iaitu sistem yang melawan bahagian tertentu tubuh yang sepatutnya dilindungi.

SLE boleh merebak ke beberapa bahagian tubuh seperti sendi, kulit, buah pinggang, jantung, paru-paru, saluran darah dan otak.

Penyakit ini dipercayai menyerang lebih 90 peratus wanita, terutama selepas melahirkan anak, manakala 10 peratus lagi menyerang lelaki dan kanak-kanak.

Ia juga disebabkan gangguan kompleks dan sebabnya tidak diketahui. Ada berkemungkinan ia disebabkan faktor genetik, alam sekitar dan hormon yang bergabung dan menyebabkan SLE.

Setiap pesakit mempunyai simptom berbeza; bergantung pada ketahanan badan seseorang seperti bengkak sendi, demam yang tidak diketahui puncanya, keletihan dan keterlaluan yang kemudian disertai sejenis ruam merah iaitu ‘ruam rama-rama’ merentasi hidung dan pipi.

Antara simptom lain ialah sakit dada, keguguran rambut luar biasa, anemia, ulser mulut, sakit kepala, pening, kemurungan, kekeliruan dan sawan. Lupus mungkin susah dikenal pasti kerana sering menyerupai penyakit lain.

Bagaimanapun, tanda lupus berbeza antara setiap orang dan sesetengahnya lebih teruk daripada pesakit lain. Ada yang mengalami ulser mulut, sawan tanpa sebab, masalah mental, keguguran kandungan bayi yang kerap dan masalah buah pinggang.

Jika semua tanda ini berlaku, segera berjumpa dengan pakar SLE untuk mendapatkan rawatan pada peringkat awal.

Bukan hanya satu ujian boleh menentukan seseorang itu mengidap SLE, namun ujian makmal adalah paling baik untuk mengenal pasti auto antibodi tertentu yang sering ada dalam darah pesakit, contohnya ujian ‘antinuklear antibodi’ (ANA) selalunya digunakan untuk mencari ‘auto-antibodi’ yang bertindak terhadap nukleus sel badan.

Akhir sekali, doktor akan melihat gambaran keseluruhannya — sejarah perubatan, simptom dan keputusan ujian — untuk memastikan sama ada seseorang itu menghidap SLE atau tidak.

Rawatan yang digunakan untuk merawat penyakit ini adalah ubat anti keradangan bukan steroid (NSAIDs) bagi pesakit yang mengalami sakit sendi atau dada.

Bahkan ubat antimalaria yang pada asalnya digunakan untuk merawat malaria juga berguna untuk membantu mengatasi gejala keletihan, sakit sendi, ruam kulit dan radang paru-paru.

Selain itu, kortikosteroid boleh digunakan kerana ia bertindak dengan mengurangkan keradangan. Apabila buah pinggang atau sistem saraf pusat terbabit, sejenis ubat yang dipanggil ‘immuno-suppressive’ mungkin digunakan untuk mengawal sistem imun yang terlalu aktif.

Pemakanan untuk pesakit SLE secara amnya adalah sama seperti nasihat pemakanan bagi pesakit normal lain iaitu menekankan aspek pemakanan sihat dan seimbang.

Bagaimanapun, pengecualian diberi kepada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang akut iaitu keperluan protein perlu dikira. Kes sedemikian perlu dirujuk lebih awal kepada pegawai dietetik untuk nasihat pemakanan.

Pemakanan sihat dan seimbang adalah corak pemakanan yang membolehkan badan memperoleh kalori yang bersesuaian dan empat kunci kesihatan boleh membantu seseorang itu mencapai corak pemakanan sihat dan seimbang, iaitu amalan pemakanan sihat, mengamalkan gaya hidup sihat dan berkualiti serta berupaya mengatasi tekanan dan meningkatkan amalan bersenam untuk memperoleh tahap kesihatan unggul.

Secara amnya, panduan asas untuk pemakanan sihat ialah mempelbagai makanan, makan makanan seimbang dan sederhana. Ini dapat dicapai jika seseorang itu mengamalkan corak pemakanan berpandukan piramid makanan Malaysia.

Pesakit lupus sering kekurangan tenaga dan perlu mengawal kegunaan tenaga. Dapatkan nasihat petugas kesihatan mengenai cara menangani keletihan.

Pada umumnya, pesakit berasa lebih sihat jika mereka membahagikan masa antara rehat dengan kerja, di samping pengambilan ubat. Jika anda berasa murung, kaunseling boleh membantu.

Ada juga pakar kesihatan lain seperti pakar nefrologi, jurulatih carakerja, pakar dermatologi dan pegawai pemakanan dapat membantu anda daripada aspek lain penyakit lupus.

Bersenam antara cara terbaik untuk membantu menangani lupus, selain senaman dengan bantuan juru pulih anggota.

Pesakit dengan penyakit kronik seperti lupus atau berbincang dengan pakar SLE dulu sebelum memulakan program senaman. Pesakit yang berpengetahuan dan berusaha merancang penjagaan diri kurang mengadu kesakitan.

Wanita yang ingin merancang keluarga juga perlu berbincang dengan pakar SLE untuk mendapatkan pelan rawatan sesuai. Meskipun mempunyai simptom SLE, pesakit masih boleh mengekalkan kualiti hidup tinggi dengan cara belajar mengenali tanda amaran supaya langkah berkenaan boleh diambil untuk mengurangkan gejala penyakit.


Alternatif bagi perwatan moden untuk SLE ialah herba.Pengalaman PU HPA merawat pesakit SLE menunjukan kesembuhannya dan sangat bergantung kepada displin pesakit terhadap penggunaan herba.Ramai yang dirawat dengan pengubatan herba Jawi berhasil malah mereka sembuh keseluruhannya dan ada yang berkahwin(wanita) ,mengandung dan melahirkan anak yang sehat:-

Herba yang dicadangkan ialah:-
1. Teh herba (sehari 10 sachet/1 jag air panas) dihabiskan dalam masa sehari
2. Spirulina 5 x 3
3. Malac 5 x 3
4. Minyak but-but (lumuri badan dengan minyak but-but sentiasa)
5. Herba Tuju Angin 5x3
6. Ubat periuk alac (setengah cawan/3 kali/hari)
7. Ubat periuk Lohard (setengah cawan/3 kali/hari
8. Shark cartilage 6 kapsul waktu pagi sahaja.
9. Omega 3 kapsul 5x 3

Inilah cadangan HPA berikan kepada persakit SLE,jika dirasakan dosnya tinggi boleh dikurangi sedikit daripada cadangan.Tempoh rawatan 6 bulan dan perubahan akan dapat dilihat dari bulan ke bulan.

Takziah untuk Hacksen. Moga Roh isterinya dicucuri rahmat

sumber artikel SLE
ZULIATY ZULKIFFLI
am@hmetro.com.my
di dalam http://intim.wordpress.com/
dan perawatan herba

Wednesday, December 9, 2009

Ulang Tahun ke 13



Sudah 13 tahun. Terasa begitu pantas masa berlalu. Syukur ke hadrat ilahi memelihara ikatan kami sentiasa penuh dengan kasih sayang, tolak ansur dan saling memahami. Detik mencabar kami bila diuji dengan kekosongan senyum tangis anak kecil dengan agak lama. Kesabaran membuahkan ganjaran hikmah besar bila dalam tempoh itu di anugerahkan rezeki yang lain. Rupanya memberi peluang kepada kami membina kualiti hidup yang lebih baik dengan dengan genggaman ijazah dan melengkapi rumah sendiri. Allah memberikan kegembiraan berganda dengan perencanaanNya yang tidak dijangka. Aku menamatkan pengajian dan menghadiri Konvokesyen akhirnya bersama iringan mereka yang tersayang bukan lagi berdua..bahkan bertiga dan sebenarnya berempat (sarat ketika itu). ..dan kini berenam. Sesungguhnya perencanaan Allah itu Maha Bijaksana.





Menyambut ulang tahun perkahwinan kami di Restoren Tani. Saatnya sekejap dan ringkas namun pengertian mendalam dan bermakna sekali.






Tuesday, December 8, 2009

papan tanda pelik?

Fungsi papan tanda dan label ialah untuk pemberitahuan, peringatan, pemakluman dan sebagainya.Sebab itu kena kreatif menghasilkan papan tanda menarik perhatian ramai. Namun papan tanda yang pelik mengundang persoalan sama ada ia benar dari segi maksud dan bahasanya.












foto di perolehi dari ibnu hasyim