Followers

nuffnang

Showing posts with label Maktab. Show all posts
Showing posts with label Maktab. Show all posts

Tuesday, December 6, 2011

Hadiri Jambori Malaysia


Pasukan Pengakap Daerah Jengka telah bertolak  menaiki bas pada 19 hb November. Aku terpaksa pergi keesokan harinya kerana terlibat jamuan Malam Seribu Epilog dan Perpisahan GPK HEM. Rupanya Terengganu hujan lebat hampir sepanjang masa. Memang cuaca memberi cabaran hebat kepada peserta kali ini. Penyertaan dari seluruh negara dan 30 negara lain membuktikan kemeriahan Jambori kali ini. Aktiviti Eksplorasi Warisan dijalankan di sekitar Kuala Terengganu dan juga di sekitar kem juga di dalam Kem Telaga Batin ini. Sungguh berbeza kem ini berbanding waktu group M3P buat manikayu 2 tahun 1994 dulu. Petang 24 hb November 2011 aku terpaksa bergegas balik ke Pahang sebab esoknya kena memandu ke Hulu Langat pula untuk majlis perkahwinan anak saudara.





 

Friday, August 20, 2010

Belasungkawa Norhisham Mohamed.... M3P







Setiap yang hidup pasti akan merasai saat kematian…bilamana Izrail datang memanggil dan menjemput mu, maka tidak akan lambat atau pun cepat walau sesaat pun…. saat ini ku mengingati saudara Norhisam Hj. Mohamed yang telah kembali ke Penciptanya pada hari Khamis 19hb Ogos 2010 jam 1.25 petang di Wad 8CD Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu setelah dimasukkan ke wad rawatan rapi. Jenazahnya disemadikan di Sungai Ular, Kuantan.

Arwah mengajar di SK Tengku Bariah, Kuala Terengganu. Diberitakan anak-anak murid beliau di Tahun 3 dan 5 menangis teresak-esak apabila diberitakan pemergian Cikgu Sham..semuanya berlaku terlalu mengejut kerana menurut warga sekolah SKTB, pada Selasa beliau masih mengajar dengan bersemangat seperti biasa sebelum pergi ke temujanji dialisis tengah harinya. Pukul 3 petang hari yang sama beliau dimasukkan ke ICU kerana komplikasi….dan 2 hari selepas itu…beliau pergi meninggalkan kita semua………

Arwah yang kukenal ialah seorang yang sentiasa ceria, bersikap positif, suka berkawan, selalu memberikan pandangan dalam sesuatu hal…arwah juga suka berjenaka dan menolong orang. Teringat saat pertama kukenal arwah bilamana aku melapor diri di MPPP. Selesai pendaftaran aku membonceng motorsikal senior ke rumah sewa yg diperuntukkan untukku, Wisma Seri Bayu. Senior itu ialah Hisham. Saat itu kali pertama aku kenal Hisham. Kami di Wisma Seri Bayu sangat menghormati kerana ketrampilan beliau.

Antara sukan kegemarannya ialah Rugby. Maka aku secara tak langsung kenal permainan ini walaupun tidak pandai main. Kerap kali aku ikut Hisham mendaki Bukit Besar saban hujung minggu. Kecergasan fizikal memang dipentingkan arwah , maka aku secara tak langsung terlibat sama melatih diri sentiasa cergas. Hasilnya aku berjaya menyertai dan menamatkan larian marathon antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud sejauh 21.5 km. Ada jugalah nombornya...

Kami di Wisma Seri Bayu sentiasa menyokong beliau. Teringat apabila ada pemilihan Majlis Pemimpin Guru Pelatih, semua warga WSB naik ke pentas mengiringi beliau yang bertanding jawatan Presiden PGP. Walaupun tewas sokongan tetap meriah.

Namun selepas posting tahun 1995 aku tidak pernah bersua lagi dengan Hisham. Walaupun beberapa kali ke Terengganu tidak pernah bersua. Cuba juga mencari diinternet tapi tidak berjumpa. Rupanya ada kelibat arwah dalam alam maya ini. Selepas pemergian arwah baru kutahu beberapa nama yang digunakan didalam posting blog ialah pemunyanya ialah Sham. Beberapa blog yang menjadi ikutan Syam juga pernah aku ikuti.

Ramai sahabat yang menangisi pemergian Hisham. Ramai mereka berbicara pengalaman mereka bersama Hisham. Ada bicara teman dalam posting sempat mendengar bicara Hisham " Kalau ikut aku dah mati lama dah, tetapi aku tetap kuatkan semangat, kalau aku nampak lemah, isteri dan anak-anak aku pun akan jadi lemah..jadi kita jangan putus asa". Semangat arwah sangat dikagumi.

TAKZIAH buat isteri arwah dan anak2 arwah serta seluruh ahli keluarga arwah..semoga redha menerima takdir Yang Esa dan akan terus tabah mengharungi kehidupan ini bersama anak2 tercinta.Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan tenang bersemadi di alam barzakh.

Berikut ialah catatan penuh blogger syahril kadir yang mendedikasikan sebuah blog khas untuk arwah.....

https://syahrilkadir.wordpress.com/2010/08/19/selamat-jalan-sabahatku-sham-trg/

selamat jalan sahabatku, Sham Trg…
Ogos 19, 2010
oleh syahrilkadir
.sejak kebelakangan ini aku agak hairan kerana ada seorang pembaca blog ini yang tak pernah ‘miss’ memberikan komennya dalam setiap entry yang aku tulis

setiap komen yang diberi pula cukup positif, jarang sangat dia tidak bersetuju dengan aku walaupun dalam entry-entry yang aku sendiri sifatkan ia agak ‘panas’

untuk pengetahuan korang, selalunya aku akan menulis entry menjelang Subuh, yang hairannya, kekadang tak sampai 10 minit, dia dah pun bagi komen dalam entry yang aku siarkan itu

disebabkan terlalu ingin mengetahui siapakah lelaki misteri yang hanya menggelarkan dirinya Sham Trg itu, aku cuba mengesan alamat emelnya

dari situ aku mendapat nombor telefon Sham Trg yang kebetulan ada menyertai sebuah kelab motorsikal skuter di Terengganu

aku ingat lagi, di waktu Subuh jugalah, aku akhirnya dapat bercakap dengan beliau yang ketika itu sedang bersiap untuk mengajar di sebuah sekolah di Terengganu

sejak itu kami sering berbual dalam telefon, seolah-olah kami dah kenal lama sedangkan kami tidak pernah bertemu muka

pada suatu hari dia menelefon dan beriya-iya mahu menemuiku di depan Kompleks Pertama, sedang bercuti bersama keluarga katanya

tepat waktu yang dijanjikan, aku pun duduk di sebuah restoran berhampiran

tak sampai 10 minit, Sham terus menerpa dan memeluk aku dengan erat sampai aku tergamam dibuatnya

” Tak sangka akhirnya kita bertemu gak Ril, aku bukan nak tipu mu, tetapi aku memang suka baca blogmu, kalau sehari mu tak tulis aku doh gelisah, bukan apa takut mu tak sihat je,” katanya

turut bersama kami adalah dua adik lelakinya

terus terang, aku tak sangka aku ada peminat setia macam Sham, memang aku terharu sungguh

lalu kami pun berborak macam dah kenal lama, dekat dua jam jugalah, kami bergelak ketawa, order air ni jangan kiralah, ada kot dekat tiga gelas seorang

tapi sepanjang berbual itu, mata aku asyik tertumpu dekat lengannya…bukan apa, aku nampak urat-urat lengannya timbul dekat permukaan kulit, sebesar straw adalah, hijau dan kehitaman

aku dapat rasa ini mesti berkaitan dengan penyakit buah pinggang, selalunya simptom ini ada pada mereka yang menjalani rawatan dialisis, rupanya memang betul

” Ril, aku ni dulu aktif main rugby sehinggalah suatu hari aku demam teruk, rupa-rupanya bila check, buah pinggang aku rosak, sebab tu sampai sekarang aku kena buat dialisis,” kata Sham

aku terdiam, tak sangka disebalik gelak tawanya Sham menghidap penyakit yang serius

sebelum beredar, dia mengajak aku ke hotel penginapannya kerana dia ada membawa ole-ole berupa keropok lekor, ishk pendek kata aku memang terharu sungguh dengan Sham ni

tetapi baru dia tiga tapak melangkah, Sham kelihatan semput, tercungap-cungap bagaikan baru lepas berlari

” Sham, aku rasa penyakit mu ni teruk ni, mu bior betul Sham, aku dah rasa bersalah ni!,” kata aku

” Mu jangang ngadalah, biasalah aku macam ni, aku tak peduli, jom gi amik keropok,” katanya. Aku dah jadi serba salah gila

selepas mengambil keropok itu, Sham terus memberi nasihat pada aku

” Ril, ini ujian Tuhan yang aku kena terima. Kalau ikut aku dah mati lama dah, tetapi aku tetap kuatkan semangat, kalau aku nampak lemah, isteri dan anak-anak aku pun akan jadi lemah, kita jangan putus asa,” kata Sham sebelum kami berpelukan sekali lagi

sejak itu aku tidak pernah berjumpa lagi dengan Sham, tetapi SMS tetap ada, dan dia pun seperti biasa setiap pagi pasti akan memberikan komen dalam entry-entry aku

nak dijadikan cerita, selepas sahur Subuh tadi, aku saja buka Facebook, tiba-tiba aku ternampak dia ‘online’

tak sampai seminit kemudian, aku dapat mesej darinya

SYAHRIL, INI ISTERI ABANG SHAM. ABANG SHAM TENGAH KOMA KAT HOSPITAL SEBAB STROKE.TOLONG DOAKAN DIA

aku terus jadi lemah, dan kira-kira tengah hari tadi, isterinya memaklumkan pada aku yang Sham telah pergi buat selama-lamanya

aku hampir nak meraung, aku tak pernah merasa sedih sebegini, kalaulah aku ada sayap, nak saja aku terbang ke Kuala Terengganu waktu itu juga!

ya Allah, rupa-rupanya pertemuan sulung kami itu juga adalah pertemuan terakhir untuk kami berdua

ketawa pertama kami hari itu adalah ketawa terakhirnya pada aku dan nasihat pertama dia pada aku rupanya adalah nasihatnya yang terakhir juga pada diriku

buat Sham, kenapalah kau pergi terlalu awal, kau kata nak tunggu aku di Terengganu, kau kata nak bawa aku jalan-jalan, kau kata nak bawa aku makan ‘ikang’

sesungguhnya aku kehilangan insan yang aku anggap macam abang kandung aku sendiri

InsyaAllah Sham, aku berjanji, suatu hari nanti aku akan singgah ke pusara kau, dan aku hadiahkan Fatihah buat kau Sham

tenanglah kau di sana, ini hanyalah satu tidur panjang…dari tanah kita datang, dan ke sana juga kita semua akan kembali

aku tak dapat menulis lagi bro….

SAK: Al-Fatihah buat Sham Trg @ Cikgu Noor Sham Mohd (1970 – 2010)

catatan blog ku : http://www.sebelum-mata-terlena.blogspot.com/

Thursday, December 24, 2009

Re Union di Terengganu



19 dan 20 Disember 2009 aku dan keluarga hadir ke majlis re union bekas pelatih MPPP sessi Julai 1993-95. Program diadakan di Kuala Terengganu. Sampai sudah agak lewat. Bertolak selepas isteri habis peperiksaan jam 12.30 ptg. Sampai ke Kuala Terengganu sudah jam 8.00 malam.



Kami bertolak ke rumah Rosnani, Unit Math untuk jamuan BBQ. Di sana kumpulan rakan-rakan dari Terengganu sudah ada yang menunggu di situ.Sebahagian lagi datang kemudian selepas itu. Memang meriah..semua lebih tertumpu untuk berbual dengan kawan-kawan daripada menghadap makanan. Masing-masing teruja bila berjumpa sahabat yang telah 14 tahun berpisah.



aku balik ke bilik di Dara Inn, bila baby sudah mengamuk mengantuk. Kawan-kawan terus berbual dan ada yang sambung di Chalet sehingga pagi.



pagi 20 Disember, bertolak ke MPPP. Maktab yang telah menjadi Sekolah Menengah Sains. Suasana agak suram, latar MPPP sudah jauh berbeza ketika kami menjadi pelatih dulu.



Beberapa lokasi penting dan penuh kenangan sempat aku jenguk dan ceritakan pada isteri anak-anak. Di sinilah tempat itu dan tempat ini..perhimpunan, bilik kuliah, tempat main bola dan hoki dan macam-macam..



Aktiviti diteruskan di dalam Dewan yang dulu dikenali Dewan Nadwah. Masa melapor diri 1993 dewan ini begitu meriah. Sessi ucapan penuh emosi, bila mana ada yang pelbagai gaya , memperkenalkan diri dan keluarga. Ada yang girang dan sebak.



Sesi diteruskan dengan nyanyian lagu maktab..walaupun separuh lupa tetapi bila ramai-ramai menyanyi lagu maktab menjadi sempurna dinyanyikan.Salute untuk semua.
Akhir sekali bergambar beramai-ramai bersama-sama dengan Tn Hj Khairuddin, Pn Hjh Rogayah dan Pn Hjh Wan Hasnah..mantan pensyarah MPPP.



Petang sessi lawatan ke Taman Tamaddun Islam. Gambar tak sempat dimuat naik.Namun sebelum balik sempatlah melawat ke Batu Buruk, Masjid Terapung dan kedai di pinggir Bukit Puteri.






Saturday, July 11, 2009

Lagu Maktab Pasir Panjang.

Teringat masa jadi guru pelatih Maktab Pasir Panjang Kuala Terengganu..Lirik lagu Maktab masih terngiang di telinga..tapi camana lagu aku dah lupa!!, Semasa cikgu Jamaluddin (MPPP 92-94)sama sekolah dia selalu nyanyi lagu ni sambil petik gitar..bila hari guru dia akan ubah lirik utk sesuaikan dgn sekolah, tapi aku tauu..itu lagu Pasir Panjang. kini dah tiada lagi kedengaran irama lagu Pasir Panjang di mainkan. Moga di satu masa nanti ada sahabat dari bekas Pasir Panjang yg dpt mengembalikan ingatan yang dah lupaaa ni.

LAGU KENANGAN
Kalau siang sang suria terang
Guru jadi teman bergirang
Kalau malam tidak berbulan
guru jadi pemandu jalan
kalau semak hutan belukar
guru jadi perintis akar
kalau luas laut gelora
guru jadi bintang utara
Itulah sebabnya kami dilatih dengan sempurna
Supaya menjadi guru yang baik dan juga berguna

Kami semua pelajar
berjanji akan rajin dan usaha
tidak membuang masa
belajar dengan penuh tenaga
kami akan amal kan
segala tunjuk dan pengajaran
Maktab latihan guru, Pasir Panjang Terengganu
tempat kami berlatih dengan jiwa bersih
kami akan bertugas
jadi pendidik bangsa
dengan tulus ikhlas
menunai kewajipan mulia

sumber
http://rakanmppp9193.blogspot.com/2009/06/pasukan-koir-maktab-pasir-panjang.html