Followers

nuffnang

Saturday, March 31, 2012

Arnab dalam lubang

Hujung minggu ni cadangnya mau masukkan tanah ke dalam polybag. Nak tanam pokok belakang rumah. Ada benih cili dan kailan sikit. 


Tak sangka tengah menyangkul terjumpa anak-anak arnab yang comel sedang tidur. Tidak pasti  bila masa ada 4 ekor anak arnab dalam lubang tu. Memang dua bulan lepas arnab betina yang anak-anak saya panggil 'Blue' beranak. Tapi 2 hari lepas tu rasanya semua anak-anaknya mati. Tak pasti anak-anak arnab ini adakah yang baru beranak atau saki baki yang dulu berjaya diselamatkan oleh Blue.Lihat saiz yang ini seperti usia 3 minggu.


Selepas anak arnab mati tempohari, memang 'Red' dan 'Blue' di biarkan bebas keluar dari reban. Mereka akan masuk reban untuk makan pellet dan minum sahaja. Tidak sangka lubang yang dikorek itu jadi tempat anaknya bersarang sehingga sebesar itu sekarang. 


Lepas ni kena buat reban yang lebih besar nampaknya.. Tapi kesukaran yang dijangka ialah bagaimana mahu menguruskan anak-anak arnab ini, terutama penyusuan dan keselamatan dari kucing. 'Blue' seolah tidak peduli pada anak-anaknya....


dan tak ada kerja lainlah anak-anak lepas ini... Asilah, Adeeb , Ijah dan Alyaa asyik membelek anak-anak arnab sahaja. Nasib baik hujung minggu cuti sekolah. Mengusung ke dalam rumah dan masing-masing berebut nak memegang arnab. Tapi tak apalah ada juga keasyikan selain bermain games.


Daun 'Rumput Israel' kesukaan arnab pun banyak rupanya di sekitar rumah. Bolehlah ditukar-tukar dengan pellet yang harganya pun dah berapa ringgit sekarang..




Wednesday, March 28, 2012

Projek Multimedia Kedua

Sempena persaraan En Saidin bin Baharum, seorang pekerja di sekolah SKJP2 pada 26 Mac 2012, aku telah diamanahkan menghasilkan satu persembahan multimedia. Ini ialah projek kedua selepas persembahan di malam Seribu Epilog November 2011. Kali pertama dulu menggunakan movie maker dan kali ini mencuba  power director. Itupun versi 2. Memang banyak kelemahan kerana semuanya try and error. Aku tidak pernah berkursus di mana-mana tentang persembahan multimedia. Dek kerana minat dan ingin mencuba sesuatu yang baharu aku menyahut cabaran dan melakukan  sekadar yang termampu. 



Wednesday, March 14, 2012

Jengka, Pahang yang patut anda tahu.



Saya sudah menetap di Jengka hampir 30 tahun. Mulai zaman kanak-kanak hinggalah dewasa kini telah bekerja dan bermastautin di Jengka. Perkembangan di Jengka dapat dilihat depan mata. Mulai saat-saat sukar sehinggalah kemajuan pesatnya kini. Saya juga pernah mengkaji perkaitan Jengka dengan Felda sewaktu membuat Kajian Ilmiah Peringkat Ijazah Pertama dulu. Sampailah masa saya ingin memuatkan sedikit info berkaitan Jengka untuk dikongsi bersama pembaca. Bukanlah terperinci sekadar ringkasan.


Jengka ialah gugusan FELDA terbesar di Malaysia yang terletak di negeri Pahang Darul Makmur. Gugusan Jengka juga dikenali sebagai Segitiga Jengka kerana kedudukannya meliputi tiga daerah iaitu Temerloh, Jerantut dan Maran. Di tengah-tengah gugusan rancangan FELDA ini, maka muncul sebuah bandar baru iaitu Bandar Jengka yang kini di masyhurkan sebagai Bandar Tun Abdul Razak Jengka sempena perdana menteri Malaysia yang kedua yang memainkan peranan penting kepada penubuhan Felda. Bandar Jengka kini pesat membangun dengan kelengkapan unit kedai, bank, hospital, pejabat kerajaan, pusat pengajian tinggi, pasar, sekolah, hotel dan homestay juga kilang-kilang makananan, komoditi dan elektronik , serta tempat- tempat rekreasi perkhemahan.


Gugusan Jengka terdiri daripada 25 buah rancangan FELDA yang menjadi pengeluar sawit dan getah. Terdapat 25 buah Jengka yang ditandai dengan nombor 1 hingga 25. Di samping nombor yang diberikan berdasarkan kawasan yang lebih awal dibuka, Jengka-jengka tersebut juga diberikan nama mengikut nama bunga. Pemilihan nama bunga juga adalah mengikut abjad bagi mengenalpasti kawasan yang lebih awal dibuka. 


Oleh itu satu-satu Jengka itu dinamakan sebagai Jengka 1 (Anggerik), Jengka 2(Cempaka), Jengka 3 (Dahlia), Jengka 4 (Kemboja), Jengka 5 (Kekwa), Jengka 6, Jengka 7, Jengka 8 (Kesidang), Jengka 9 (Kesumba), Jengka 10(Mawar), Jengka 11 (Melati), Jengka 12, Jengka 13 (Putri Malu), Jengka 14 (Raya), Jengka 15 (Semarak), Jengka 16 (Sena), Jengka 17 (Seri Pagi), Jengka 18 (Seroja), Jengka 19 (Siantan), Jengka 20 (Tanjung), Jengka 21(Teratai), Jengka 22(Terkis), Jengka 23 (Tonkin), Jengka 24, dan Jengka 25. Hal ini bermakna Jengka yang pertama dibuka ialah Jengka 1 manakala Jengka yang terakhir dibuka ialah Jengka 25.dalam kawasan jengka juga terdapat tanah rancangan felda yang tidak menggunakan nama jengka, kerana ia di tubuhkan lebih dahulu dari jengka itu sendiri. Di antaranya felda Kampong Awah 1963, felda Ulu Jempol 1965, felda Sungai Nerek 1967.


Setiap kawasan pertempatan Jengka mengandungi antara 300 hingga 600 buah keluarga. Manakala di bandar Tun Abdul Razak Jengka telah wujud beberapa Taman Perumahan seperti Rantau Perintis, Taman Desa Jaya 1 dan 2, Taman Permatang Syah Bandar, Taman Jengka Impian, Taman Jengka Mahkota serta rumah Kakitangan Guru, Uitm, Bomba, hospital dan lain-lain. Pemastautin di Bandar Jengka sahaja telah menjangkau 12,912 ( bancian 2010).







Nama Jengka pula diambil daripada sebatang sungai yang mengalir di dalam kawasan Jengka iaitu Sungai Jengka. Terdapat dua pendapat yang menceritakan asal usul nama 'Jengka' iaitu:



Mitos 1 Diceritakan tinggal sepasang suami isteri Orang Asli yang tinggal di sebuah teratak berhampiran dengan sebatang sungai yang mengalir deras. Si suami memang bijak memburu, lantaran seharian beliau keluar mencari rezeki. Manakala si isteri pula, sambil menunggu kepulangan suaminya, bertenun kainlah sepanjang hari. Adapun alat yang digunakan oleh isterinya dipanggil jangka . Entah bagaimana pada suatu hari jatuhlah jangka itu ke dalam air, menangislah si isteri sehingga kepulangan suaminya. Mencarilah si suami apabila pulang, namun tidak menjumpainya, dan akhirnya ia dinamakan Sungai Jengka berdasarkan peristiwa ini.



Mitos 2 Adapun pada suatu hari, seorang perempuan asli telah terkena kerasukan yang amat teruk. Dia langsung tidak boleh menjejak tanah. Lantaran tok batin tempat tersebut berusaha untuk mengubatinya. Maka, dalam tafsirannya pesakit tadi perlu di bawa ke sebatang sungai tidak bernama untuk dimandikan. Lantara sebatang sungai yang mengalir deras telah dipilih di tengah rimba. Apabila mencecahnya kaki pesakit tadi ke air, ternampaklah orang ramai satu kelibat di dalam air. Maka berkatalah orang ramai “Jin ke tu?”. Dari sinilah Jengka mendapat nama.


Para peneroka datang daripada seluruh Malaysia. Justeru dapat dilihat keunikan budaya di Jengka kerana adat dan budaya yang bercampur-campur diamalkan di Jengka memandangkan para pendatang ini mengekalkan adat dan budaya kampung asal masing-masing. Terdapat juga peneroka dari kalangan kaum Cina dan kaum India namun majoriti peneroka adalah kalangan kaum Melayu. 


Terdapat beberapa Mercu Tanda dan destinasi menarik berhampiran kawasan jengka, antaranya ialah Pusat Pengajian Tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UItm) dan Matrikulasi Teknik, Pusat Latihan Pertanian Tun Abdur Razak(Tekam Plantation Resort) yang menawarkan pelancongan bertemakan pertanian, kompleks gua Kota Gelanggi, dan rangkaian gua-gua di Gunung Senyum.berhampiran dengan Felda Ulu Jempol terdapat satu kawasan pelancungan air terjun, Lubuk Yu. Kedinginan airnya dan kehijauan hutannya telah menarik ratusan pengunjung pada hujung minggu kedudukannya hanya 15km dari Bandar Jengka. 


rujukan : artikel dalam http://virtualfriends.net/

Saturday, March 10, 2012

SBPA batal

Pengumuman yang ditunggu oleh kakitangan awam selama ini terjawab apabila SBPA yang ditandatangani hujung tahun dulu diumumkan batal oleh PM. Banyak sudah komentar orang ramai tentang isu ini dalam laman sosial, blog dan sebagainya. Malaslah nak ulas lagi. Cuma yang boleh boleh analisis gaji sendiri je lah hee..

Ketika tandatangan SBPA gaji saya dalam skim SSM di  P2 T14- RM3020. Ketika itu SBPA tidak beri kenaikan gaji, terus ke tangga terdekat  iaitu RM3275,(kenaikan RM255). Tarikh pergerakan gaji akan dianjak dari Januari ke April. Jadi pada bulan April jika SBPA berjalan gaji saya akan menjadi RM3500. dan tahun 2013 ~ RM3725, Tahun 2014 ~RM3950. Begitulah perkiraan yg saya rasa juga dicongak-congak oleh semua anggota perkhidmatan awam yang lain.


Apabila SBPA dibatalkan dan SSM dipakai semula dengan kenaikan 13%. Gaji 2012 saya pada Januari akan menjadi  RM3520.12 . Jika di banding diperingkat awal SBPA nampak macam tiada beza malah lebih baik kerana dalam SBPA  hanya RM3500 , tetapi bila lihat setahun dua di hadapan iaitu tahun 2013~ RM3627.04 . Tahun 2014 ~RM3803.15 baru nampak kerugiannya.


Ringkasan 

                   SSM lama            SBPA                   SSM baru
2012  -    RM3115.15          RM3500.00         RM3520.12
2013  -    RM3209.77          RM3725.00         RM3627.04
2014  -    RM3365.62          RM3950.00         RM3803.15

Maka kenaikan tahunan telah menjadi berkurang kerana dalam SBPA kenaikan Skim Siswazah sebanyak RM225 sedangkan dalam SSM hanya seratus lebih. Walaupun elaun Cola dinaikkan sebanyak RM50, ia masih belum menyamai lagi Skim SBPA.

Harap-harap CUEPACS selepas ini dapat berunding ke arah lebih baik bukannya mengurangkan apa yang patut dapat. Walau bagaimanapun saya berterima kasih kepada usaha penambahbaikan sistem perkhidmatan awam oleh kerajaan dan bersyukur pada  rezeki yang Allah berikan. Moga ia akan menjadi berkat untuk kesejahteraan dunia dan akhirat.