Followers

nuffnang

Thursday, June 18, 2020

MANUAL PENANAMAN CENDAWAN

CADANGAN BAGI PENANAMAN CENDAWAN.
SEBAHAGIAN BESAR DI PRAKTIS OLEH JCT AGROTECH



Penanaman cendawan mengikut persekitaran adalah seperti berikut:-

1.      Penanaman cendawan tanah rendah:
Keperluan suhu antara 25-32oC
 
2.      Penanaman cendawan tanah tinggi:
Keperluan suhu antara 14-22oC.
 
3.      Penanaman cendawan persekitaran terkawal:
Keperluan suhu antara 10-18oC

Persediaan di tapak projek (seluas 2 ekar)
  • 1 unit bangunan untuk pejabat, pengumpulan hasil, bilik penyimpanan (chiller) dan bilik proses.
  • 1 unit bangunan untuk menyimpan habuk kayu dan ruang penyediaan beg media
  • 1 unit bangunan untuk pengukusan, penyejukan beg media dan bilik penyuntikan benih
  • 10 unit rumah cendawan bersaiz 20' x 50' untuk pemeraman dan pengeluaran hasil

Ciri-ciri asas rumah cendawan
  • Pengudaraan yang baik - gunakan dinding netting
  • Suhu sesuai:  28oC-30oC - rumah cendawan beratap dan siram 2 kali sehari
  • Kelembapan bandingan yang tinggi:  80-90% (siram dua kali sehari)
  • Kalis serangga dan penyakit - dinding netting dan lantai bersimen

Ukuran rumah cendawan yang sesuai
Besar:  20' x 50' - memuatkan 10,000 - 15,000 beg
Kecil:   20' x 15' - memuatkan 3,000-4,500 beg


Contoh:  Rumah berdinding jaring (netting) dan rumah berdinding daun nipah.  Rumah cendawan tidak sesuai terlalu besar kerana sukar untuk mengawal jangkitan pencemaran.

Ruang dalam bangunan
  • Ruang penyediaan - ruang menggaul media
  • Ruang pengukusan - ruang beg media dibasmi kuman
  • Bilik suntik - ruang menyuntik benih
  • Bilik pemeraman - ruang untuk meletak beg media semasa pemeraman
  • Ruang pengeluaran hasil - ruang menyusun beg untuk memungut hasil

Amalan pengurusan baik

Mematuhi susun atur kerja yang mengambilkira kawasan basmi kuman dan bukan basmi kuman (perlu dipatuhi untuk mengelakkan pencemaran).  Kebersihan ruang perlulah dijaga.  Kerja-kerja penyediaan beg hendaklah dilakukan di kawasan tidak basmi kuman dan aktiviti pengukusan di sempadan antara kawasan tidak basmi kuman dan kawasan basmi kuman.  Manakala kerja menyuntik benih dilakukan di kawasan basmi kuman dan pemeraman serta memungut hasil di kawasan basmi kuman.
Dapatkan bekalan bahan media (habuk kayu getah, dedak, kapur) dan bekalan peralatan (tutup dan leher beg media, mesin bancuh, tong dram atau pengukus besar (steamer) serta mesin pengisi dan pembekal.

Susun atur kerja yang baik boleh mengurangkan pencemaran
 
Ruang Penyediaan
--------------------->
Ruang Pengukusan
--------------------->
- Bilik suntik
- Ruang pemeraman
- Ruang pengeluaran hasil 
KAWASAN TIDAK
BASMI KUMAN
^
^
^
^
KAWASAN BASMI KUMAN
SEMPADAN ANTARA
KAWASAN TIDAK BASMI KUMAN
DAN BASMI KUMAN 


Teknik Menanam Cendawan

Aktiviti utama yang perlu dilakukan ialah menyediakan beg media cendawan, iaitu beg plastik tahan panas (8.5 cm x 36 cm, tebal 0.6 cm), tutup dan leher beg media, kapas/span penyumbat.  Keperluan penyodok besar dan kecil (bagi projek kecil) atau mesin bancuh, mesin pengisi beg (projek besar).
Gaulkan habuk kayu getah, dedak dan kapur pertanian pada kadar 100:10:1 mengikut berat.  Siram air sehingga habuk kayu tidak berderai apabila dikepal.  Masukkan campuran habuk kayu getah ke dalam beg plastik dan padatkan sehingga tingginya 18 cm dan beratnya 1 kg.  Pasangkan leher dan tutup (penutup disumbat dengan sedikit kapas).

Pengukusan Beg Media Cendawan

Masukkan air ke dalam tong drum sehingga paras lapik.  Susun beg media secara menegak sehingga penuh tong drum.  Tutup mulut tong drum dengan lapisan guni gula dan besen aluminium di atasnya.  Kukus selama 7 jam.  Padamkan api dan sejukkan beg media di dalam ruang penyejukan. Sekiranya tanaman cendawan itu merupakan projek besar, peralatan seperti steamer, set dapur gas, bakul pastik/besi perlu digunakan. 

Pemilihan Benih Cendawan

Faktor-faktor yang perlu diberi perhatian semasa memilih benih ialah:-
·         pilih dengan teliti
·         miselium benih yang baik berwarna putih seperti kapas
·         pilih benih yang pertumbuhan miseliumnya penuh dan padat
·         jangan pilih benih yang berwarna perang dan yang mengeluarkan cairan seperti minyak kerana ia telah tua dan tidak aktif
·         jangan pilih benih yang dicemari kulat yang berwarna hijau, kuning dan hitam.
·         jangan pilih benih yang berbau masam dan berulat.


Penyuntikan Benih Cendawan

Peralatan yang diperlukan untuk penyuntikan benih ialah benih, pengorek benih, pelita spirit/burner dan pen marker.  Bersihkan bilik dengan pembasmi kuman sebelum menjalankan kerja menyuntik benih cendawan.  Pindahkan beg cendawan yang telah sejuk ke dalam bilik suntik dan pastikan pakaian serta diri penyuntik benih dalam keadaan bersih.
Pilih benih cendawan yang baik iaitu yang berwarna putih bersih seperti kapas dan pertumbuhannya penuh sehingga ke bawah botol.  Hancurkan benih cendawan dengan pencungkil yang telah dipanaskan (layur) dengan api.  Atau, jika benih dalam beg plastik, picit benih cendawan sehingga lerai.  Buka mulut beg media dan masukkan benih cendawan anggaran sebanyak 1 sudu besar.  Penutup mulut beg media dilayur dan dipasangkan kembali pada beg media (pastikan benih cendawan turun ke bawah dan tidak berlonggok di leher beg media).   Kemudian tarikh suntik benih dan jenis cendawan dicatatkan pada beg media cendawan. Eramkan beg cendawan tersebut sehingga miselium memenuhi beg pada suhu 28-30oC diruang khas sebelum dialih ke rumah cendawan.  Tempoh pengeraman bergantung pada saiz beg yang digunakan (45-60 hari).

Pemeraman Beg Media Cendawan 

Susun beg media cendawan di atas rak dalam ruang pemeraman cendawan secara rebah atau tegak. Mulut beg dibuka.  Cendawan pertama akan keluar 3-5 hari selepas penutup beg dibuka.  Suhu yang sesuai dalam rumah cendawan ialah 30-32oC dengan kelembapan bandingan udara 80-90%.  Air perlu disembur ke dinding, lantai dan beg cendawan pagi dan petang bagi meningkatkan kelembapan dan merendahkan suhu. 

Pengawalan Perosak dan Penyakit
Pastikan rumah cendawan sentiasa bersih dan cukup pengudaraannya.  Kulat Neurospora sp. biasanya menyerang pertumbuhan cendawan di peringkat awal.  Buang dan musnahkan beg-beg yang diserang.  Bersihkan persekitaran rumah cendawan daripada rumpai dan sampah sarap.  Rak dan ruang disembur dengan larutan Dettol 10%.  Serangan bakteria dapat dikenalpasti apabila batang dan kelopak cendawan berwarna perang dan berlendir.  Ia boleh dikawal dengan mencabut tangkai cendawan semasa mengutip hasil, dan kurangkan siraman air serta perbaiki pengudaraan.  Serangan serangga perosak dapat dielakkan dengan memasang jaring di sekeliling rumah cendawan.  Bagi mengawal serangan lipas, semut dan tikus, gunakan racun berbentuk umpan atau perangkap untuk mengelakkan pencemaran racun terhadap cendawan.
Tanamlah pokok di sekitarnya untuk mewujudkan suasana yang redup.  Rumah cendawan juga memerlukan pengudaraan yang baik, cahaya yang malap dan serata.  Pancaran cahaya matahari yang kuat akan membantutkan pertumbuhan cendawan.

Memungut Hasil 

Buka mulut beg media cendawan setelah pemeraman selama 45-60 hari dan miselium memenuhi keseluruh beg media.  Peringkat pertumbuhan cendawan bermula pada hari kedua cendawan mula keluar seperti anak mancis dan pada hari ketiga cendawan mula membesar dan kembang.  Pada hari keempat, cendawan membesar ke peringkat optima.  Di peringkat ini cendawan mempunyai ciri-ciri berkualiti seperti kelihatan segar dan cantik, rasanya rangup dan manis, tahan lebih lama serta tidak mudah lembik dan tidak cepat berbau busuk.  Pada hari kelima, tepi cendawan mula berombak dan pecah.  Ini menunjukkan cendawan terlalu matang/tua.  Kualiti rendah, rasanya kurang manis, liat dan cepat berbau busuk. 
Oleh itu, pungut hasil pada hari ketiga atau keempat (sebelum tepi cendawan berombak dan pecah) dengan cara mencabut seluruh rumpun cendawan.  Bersih dan tutup kembali mulut beg media dengan penutup rehat.  Rehatkan beg media cendawan selama 10 hari sebelum dibuka untuk hasil berikutnya.  Kutipan berikutnya 10-14 hari selepas direhatkan.  Untuk mendapatkan cendawan segar pada kuantiti yang sama pada setiap hari:-
  • Jumlah beg media cendawan dibahagi kepada 15 kumpulan
  • Jumlah beg cendawan yang dibuka setiap hari didarabkan dengan 50 gm (anggaran hasil/beg/petik)

Contoh perkiraan:

Untuk mendapatkan cendawan segar sebanyak 50 kg pada setiap hari mesti ada sejumlah 15,000 beg media cendawan yang dibahagikan kepada 15 kumpulan untuk mendapatkan 15 hari pusingan rehat dan buka.  Bermakna 1,000 beg media dibuka setiap hari.

Pengendalian Lepas Tuai 

Leraikan cendawan, buangkan cendawan yang terbantut pembesarannya dan cendawan yang cacat.  Kerat pangkal tangkai cendawan dengan pisau atau gunting.  Susun dalam plastik secara satu hala.  Cendawan  diisi ke dalam beg plastik atau bakul jika hendak dijual dalam masa sehari.  Beg plastik yang digunakan tidak perlu ditutup rapat (jika ditutup rapat, ia akan berwap dan merosakkan cendawan).   Jual terus hasil cendawan yang masih segar atau simpan dalam peti sejuk tidak lebih dari 3 hari (simpan dalam keadaan insang cendawan menghala ke atas).

Pemasaran Hasil 

Cendawan boleh dipasarkan dalam bentuk cendawan segar, cendawan kering dan cendawan yang diproses. Selain dari dimakan segar dan kering, kini  telah dipelbagai produk dari cendawan seperti pengetinan, 'vacuum deep fry' 'forezen tempura', campuran dalam kopi / minuman, penjagaan kesihatan, perapi diri, dan kosmetik.


Sumber: my_bumihijau@blogspot.com

1 comment: