Followers

nuffnang

Sunday, June 13, 2010

Nostalgia, 20 tahun Wa pergi

Wa dah lama pergi. Kini sudah 20 tahun. Wa bukan orang lain, sejak celik mata Wa sudah ada. Dari aku kanak-kanak, bersekolah rendah dan menengah Wa adalah sebahagian dari kami, cuma bila Wa tutup mata aku di asrama. Pak Ya yang menjemputku menenangkan bahawa Wa sudah tiada. Wa tak pernah kahwin maka aku dan adik beradik yang lain macam anak Wa sendiri. Masa kecil kadang-kadang Wa bagi duit sekupang dua. Aku berat nak menerima kerana Wa pun tiada kerja. Wa pun dapat simpati orang lain.

Aku tak menitikkan air mata setitispun dihari pemergian Wa tapi adikku menangis di belakang rumah. Dia lebih sedih kerana hari-hari akhir Wa tenat dan menghembus nafas di depan matanya. Aku cuma mengingat saat sihatnya sahaja. Wa sihat dalam sakit sepanjang masa hayatnya. Wa kurus sangat. Banyak kali masa aku kecil Wa muntah darah. Doktor kata Wa ni suspek TB tapi tiada pengesahan akhir tentang TB. Wa tak suka duduk hospital, jadi paling kuat seminggu Wa balik ke rumah. Wa kata dia bukan TB, jadi macam tu kerana kena santau.Ramai bomoh yang Wa pergi kata begitu.

Wa suka mandi pagi. Tidak kira hujan atau panas, Wa akan mencapai timba dan terus mandi di subuh hari. Lepas itu wa akan duduk atau berbaring. Kadang terdengar Wa bercakap seorang diri. Marah kepada kucing yang menjadikan kain bajunya tempat tidur.
Wa bersungut bila lapar. Wa nak berbual dengan orang tapi tiada siapa hendak berbual dengannya. Orang lain sibuk menyiapkan diri hendak ke sekolah, ke kebun dan sebagainya. Memang Wa sunyi.

Wa nak juga bekerja macam orang lain. Wa pernah menoreh getah. Ambil upah kebun orang yang simpati. Tapi Wa memang tak larat. Susu getah pun tak sudi dengan Wa. Kalau orang lain boleh RM10, Wa mampu RM3 saja. Tangan Wa sakit. Berkali-kali Wa menyebut tangannya sakit untuk meyakinkan orang. Akupun kerap kali di ulang tentang tangannya sakit seolah Wa fikir orang tidak percaya katanya.

Wa ada basikal tua. Basikal itu lah satu-satunya harta yang dia ada. Wa masa mudanya suka naik basikal tuanya ke mana-mana. Pernah kalau lama Wa keluar, akan kembali dengan baju baru. Baru terpakai disedekahkan orang. Memang Wa tak pernah beli baju. Tak pernah hayat aku lihat Wa beli baju. Ramai simpati pada Wa. Kalau bulan puasa Wa dapat kain pasang. Tapi sehingga akhir hayat Wa aku lihat kain pasang itu akhirnya akan jadi kain buruk. Wa tak ada duit nak upah tukang jahit buat baju melayu.

Ada budak nakal kata Wa kurang siuman. Aku tak faham kenapa budak nakal berkata begitu. Wa bukan gila. Wa sejak aku kecil peelnya suka bersendiri. Wa tak suka berbual dengan orang tak tentu kerana Wa rasa orang lain suka mempermainkannya. Wa sakit, kurus, kerap batuk dan Wa hanya dengan basikal tuanya. Adakah kerana bersendirinya Wa boleh kata Wa kurang siuman. Kalau dia membebel seorang diripun aku tahu hanya pasal kerenah kucing, lapar atau mengeluh sakitnya dan nasibnya.

Banyak lagi nostalgia Wa yang ada dalam ingatanku tapi biarlah jadi kenangan. Wa telah pergi 20 tahun. Lebih kurang 50 tahun hayat Wa bersama keluarga kami.Lama dulu sebelum aku lahir. Wa pergi mengadap Ilahi meninggalkan kisah pilunya sepanjang hidup. Wa menderita sepanjang usia. Hampir tiada kisah manis dalam hidupnya kecuali mungkin saat menerima sedekah orang yang simpati atau saat manis ada aku dan beberapa orang lagi yang sudi menemaninya berbual. Moga tiada lagi insan yang menerima nasib malang seperti Wa dalam menempuh kitaran kehidupan.

Al-Fatihah untuk Wa.

No comments:

Post a Comment