Followers
nuffnang
Wednesday, March 14, 2012
Jengka, Pahang yang patut anda tahu.
Saya sudah menetap di Jengka hampir 30 tahun. Mulai zaman kanak-kanak hinggalah dewasa kini telah bekerja dan bermastautin di Jengka. Perkembangan di Jengka dapat dilihat depan mata. Mulai saat-saat sukar sehinggalah kemajuan pesatnya kini. Saya juga pernah mengkaji perkaitan Jengka dengan Felda sewaktu membuat Kajian Ilmiah Peringkat Ijazah Pertama dulu. Sampailah masa saya ingin memuatkan sedikit info berkaitan Jengka untuk dikongsi bersama pembaca. Bukanlah terperinci sekadar ringkasan.
Jengka ialah gugusan FELDA terbesar di Malaysia yang terletak di negeri Pahang Darul Makmur. Gugusan Jengka juga dikenali sebagai Segitiga Jengka kerana kedudukannya meliputi tiga daerah iaitu Temerloh, Jerantut dan Maran. Di tengah-tengah gugusan rancangan FELDA ini, maka muncul sebuah bandar baru iaitu Bandar Jengka yang kini di masyhurkan sebagai Bandar Tun Abdul Razak Jengka sempena perdana menteri Malaysia yang kedua yang memainkan peranan penting kepada penubuhan Felda. Bandar Jengka kini pesat membangun dengan kelengkapan unit kedai, bank, hospital, pejabat kerajaan, pusat pengajian tinggi, pasar, sekolah, hotel dan homestay juga kilang-kilang makananan, komoditi dan elektronik , serta tempat- tempat rekreasi perkhemahan.
Gugusan Jengka terdiri daripada 25 buah rancangan FELDA yang menjadi pengeluar sawit dan getah. Terdapat 25 buah Jengka yang ditandai dengan nombor 1 hingga 25. Di samping nombor yang diberikan berdasarkan kawasan yang lebih awal dibuka, Jengka-jengka tersebut juga diberikan nama mengikut nama bunga. Pemilihan nama bunga juga adalah mengikut abjad bagi mengenalpasti kawasan yang lebih awal dibuka.
Oleh itu satu-satu Jengka itu dinamakan sebagai Jengka 1 (Anggerik), Jengka 2(Cempaka), Jengka 3 (Dahlia), Jengka 4 (Kemboja), Jengka 5 (Kekwa), Jengka 6, Jengka 7, Jengka 8 (Kesidang), Jengka 9 (Kesumba), Jengka 10(Mawar), Jengka 11 (Melati), Jengka 12, Jengka 13 (Putri Malu), Jengka 14 (Raya), Jengka 15 (Semarak), Jengka 16 (Sena), Jengka 17 (Seri Pagi), Jengka 18 (Seroja), Jengka 19 (Siantan), Jengka 20 (Tanjung), Jengka 21(Teratai), Jengka 22(Terkis), Jengka 23 (Tonkin), Jengka 24, dan Jengka 25. Hal ini bermakna Jengka yang pertama dibuka ialah Jengka 1 manakala Jengka yang terakhir dibuka ialah Jengka 25.dalam kawasan jengka juga terdapat tanah rancangan felda yang tidak menggunakan nama jengka, kerana ia di tubuhkan lebih dahulu dari jengka itu sendiri. Di antaranya felda Kampong Awah 1963, felda Ulu Jempol 1965, felda Sungai Nerek 1967.
Setiap kawasan pertempatan Jengka mengandungi antara 300 hingga 600 buah keluarga. Manakala di bandar Tun Abdul Razak Jengka telah wujud beberapa Taman Perumahan seperti Rantau Perintis, Taman Desa Jaya 1 dan 2, Taman Permatang Syah Bandar, Taman Jengka Impian, Taman Jengka Mahkota serta rumah Kakitangan Guru, Uitm, Bomba, hospital dan lain-lain. Pemastautin di Bandar Jengka sahaja telah menjangkau 12,912 ( bancian 2010).
Nama Jengka pula diambil daripada sebatang sungai yang mengalir di dalam kawasan Jengka iaitu Sungai Jengka. Terdapat dua pendapat yang menceritakan asal usul nama 'Jengka' iaitu:
Mitos 1 Diceritakan tinggal sepasang suami isteri Orang Asli yang tinggal di sebuah teratak berhampiran dengan sebatang sungai yang mengalir deras. Si suami memang bijak memburu, lantaran seharian beliau keluar mencari rezeki. Manakala si isteri pula, sambil menunggu kepulangan suaminya, bertenun kainlah sepanjang hari. Adapun alat yang digunakan oleh isterinya dipanggil jangka . Entah bagaimana pada suatu hari jatuhlah jangka itu ke dalam air, menangislah si isteri sehingga kepulangan suaminya. Mencarilah si suami apabila pulang, namun tidak menjumpainya, dan akhirnya ia dinamakan Sungai Jengka berdasarkan peristiwa ini.
Mitos 2 Adapun pada suatu hari, seorang perempuan asli telah terkena kerasukan yang amat teruk. Dia langsung tidak boleh menjejak tanah. Lantaran tok batin tempat tersebut berusaha untuk mengubatinya. Maka, dalam tafsirannya pesakit tadi perlu di bawa ke sebatang sungai tidak bernama untuk dimandikan. Lantara sebatang sungai yang mengalir deras telah dipilih di tengah rimba. Apabila mencecahnya kaki pesakit tadi ke air, ternampaklah orang ramai satu kelibat di dalam air. Maka berkatalah orang ramai “Jin ke tu?”. Dari sinilah Jengka mendapat nama.
Para peneroka datang daripada seluruh Malaysia. Justeru dapat dilihat keunikan budaya di Jengka kerana adat dan budaya yang bercampur-campur diamalkan di Jengka memandangkan para pendatang ini mengekalkan adat dan budaya kampung asal masing-masing. Terdapat juga peneroka dari kalangan kaum Cina dan kaum India namun majoriti peneroka adalah kalangan kaum Melayu.
Terdapat beberapa Mercu Tanda dan destinasi menarik berhampiran kawasan jengka, antaranya ialah Pusat Pengajian Tinggi seperti Universiti Teknologi Mara (UItm) dan Matrikulasi Teknik, Pusat Latihan Pertanian Tun Abdur Razak(Tekam Plantation Resort) yang menawarkan pelancongan bertemakan pertanian, kompleks gua Kota Gelanggi, dan rangkaian gua-gua di Gunung Senyum.berhampiran dengan Felda Ulu Jempol terdapat satu kawasan pelancungan air terjun, Lubuk Yu. Kedinginan airnya dan kehijauan hutannya telah menarik ratusan pengunjung pada hujung minggu kedudukannya hanya 15km dari Bandar Jengka.
rujukan : artikel dalam http://virtualfriends.net/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment