Followers
nuffnang
Sunday, April 22, 2012
Sayuti Zainorrdin yang ku kenal, Alfatihah...
Pagi ini baru terbaca dalam Facebook tentang pemergian ke rahmatullah seorang sahabat dari Jengka 21. Saudara Sayuti Zainordin telah kembali kerahmatullah pada 21 April 2012. Khabarnya arwah mendapat serangan jantung akibat terkejut kerana kematian ibunya pada hari yang sama.
Allah Maha Berkuasa terhadap sesuatu. Bagi keluarga Allahyarham tentunya lebih terasa apabila kehilangan dua insan tersayang dalam hari yang sama. Aku sungguh terkejut tentang berita ini. Arwah dan ibunya ku kenal dan mesra sejak zaman persekolahan lagi.
Arwah ialah 'junior' ketika aku bersekolah. Walaupun junior, keaktifannya bersukan menyebabkan dia popular kepada seluruh warga sekolah. Kalau di bidang olahraga kudratnya menyaingi kami yang di kelas tingkatan yang lebih atas. Kami juga selalu bermain bolasepak bersama. Malah dengan bolasepaklah kami lebih akrab sehingga lepas sekolah..
Pasukan Belia Jengka 21 di tahun hujung 1980an dan 90an adalah medan terbaik arwah berkecimpung dan memimpin. Minatnya dengan bolasepak menyebabkan beliau tidak kisah tenaga dan tidak lokek wang ringgit bertindak sebagai pemain, jurulatih dan pengurus pasukan sekaligus.
Beliau berjaya dengan pantas mengumpul pemain untuk sebarang kejohanan liga, 7-sebelah, 9-sebelah dan sebagainya. Aku jarang dilupakan untuk posisi sayap kiri. Ketika itu hanya aku menggunakan kaki kiri dalam pasukan kami. Maka kami akan bergerak ke merata lokasi dengan van 'Liteace' ayahnya.
Gambar ini ialah kenangan ketika menyaksikan 'final' Piala Malaysia tahun 1992. Kami sama-sama turun dari Pahang ke Stadium Merdeka, tetapi tahun itu aku menyokong pasukan Hijau Kuning. Arwah tekal dengan pasukan Tok Gajah.
Kerjasama kami diteruskan dalam kepimpinan belia M.A.Y.C. Ketika aku Penolong Setiausaha, Arwah adalah AJK Biro Sukan. Banyak program kami jalankan bersama. Kemudian apabila generasi kami berhijrah keluar sekitar tahun 1993 kerana menyambung pelajaran dan berkerja di luar Felda, arwah menerajui kepimpinan belia tersebut sehingga tahun ini.
Sebelum aku masuk maktab perguruan keluarga Allahyarham menguruskan perniagaan Kantin di SK Jengka 21. Ketika bertugas 3 bulan di situ kerap jugalah makan 'free' dan ketika mendapat surat tawaran ke Maktab Perguruan ibu arwah sangat gembira dan menghulurkan RM50 buat belanja. Aku sangat ingat peristiwa itu serta kebaikan arwah dan keluarganya.
Sepanjang di Maktab, peluang bermain bolasepak bersama 'team' Jengka hanya hadir waktu cuti. Ketika itu jika ada kejohanan masih ada Sayuti menghubungi. Tetapi apabila 'posting', kahwin dan berpindah.. dan kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah masaku terhadap bolasepak kian terbatas. Staminapun makin kurang. Posisi sayap kiri itupun sudah ada pengganti yang lebih muda dan bertenaga.
Malah di tahun 2000, setelah mendapat cahaya mata, aku terus menggantung 'boot'. Kami jarang lagi berjumpa dan dapat bersua sekali-sekala bertanya khabar khasnya ketika Aidilfitri.
Kini kedua-duanya telahpun pergi. Semoga arwah Sayuti dan Arwah ibunya mendapat kerahmatan Allah dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh di sana............Al-Fatihah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment