Followers

nuffnang

Sunday, July 19, 2009

Mudah-mudahanan isteriku mudah bersalin

http://thm-a01.yimg.com/image/15e82b6f21238c34

Ketika ini isteriku sedang di tahan di wad HOSHA Temerloh. Tarikh bersalin dijangka pada mulanya 21 Julai ..ceasar, tapi tarikh ditangguh ke Jumaat 24 Julai ni..kalau baby masih melintang memang kena ceasar. Tatkala melahirkan baby Izzah tahun lepas pun dah kena ceasar.Kalau aku yang kena alami saat nak bedah perut macam mana ye ii..tak sanggup !! tapi cekalnya isteriku, macam tak kisah..aku pulak yang susah hati. Mudah-mudahan Za akan mudah bersalin..walau macam mana caranya.
Aku dapat mencari artikel berkaitan wanita bersalin untuk panduan kepada diriku dan juga pengunjung blog ini.

Oleh DR MOHAMMED SULAIMAN IBRAHIM
Perunding Anestesiologi Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru

MENGALAMI komplikasi ketika mengandung atau masalah ketika bersalin menyebabkan sesetengah wanita serik untuk mengandung lagi sehingga ada yang mengambil keputusan mahu ‘tutup kedai’.


MENGALAMI komplikasi ketika mengandung atau masalah ketika bersalin menyebabkan sesetengah wanita serik untuk mengandung lagi sehingga ada yang mengambil keputusan mahu ‘tutup kedai’.
Malah, ada juga berkata memiliki seorang anak sudah memadai asalkan mereka tidak perlu melalui pengalaman bersalin yang menyakitkan.

Memang tidak semua wanita bertuah dan dapat melahirkan anak tanpa masalah. Setiap wanita mempunyai pengalaman bersalin yang berbeza-beza. Bahkan bagi seorang ibu, pengalaman melahirkan setiap anak juga tidak sama.

Kesakitan ketika melahirkan anak menyebabkan ada sesetengah wanita fobia untuk mengandung lagi. Sebenarnya ada pelbagai cara untuk mengurangkan kesakitan bersalin.

Antaranya ialah kaedah Lamaze iaitu senaman tarik nafas untuk melegakan ketegangan otot, suntikan ubat, sedutan gas Entonox dan epidural.

Mengapa proses kelahiran bayi sungguh menyakitkan? Ia banyak bergantung kepada keupayaan individu menahan kesakitan. Daya ketahanan ini berbeza bagi setiap wanita dan kelahiran pertama dimaklumkan lebih sakit berbanding kelahiran seterusnya. Tempoh bersalin yang panjang juga boleh menyebabkan kesakitan berpanjangan.

Bayi dilahirkan melalui dua proses. Proses pertama (fasa pertama) membabitkan pengembangan serviks (muncung rahim) untuk membenarkan pergerakan bayi ke bukaan vagina. Penguncupan (kontraksi) yang menghasilkan pergerakan ini akan bertambah dan menjadi kerap (sekali dalam masa satu hingga tiga minit). Kesakitan ini boleh dirasai di bahagian pinggang dan di kawasan ari-ari membabitkan saraf T10-L1.

Peringkat kedua pula adalah proses kelahiran di mana bukaan vagina mencapai tahap maksimum iaitu 10 sentimeter dan bayi dilahirkan membabitkan saraf S2-4. Kesakitan maksimum ini menyebabkan ramai wanita sangat takut. Ini sebabnya remaja hari ini patut bersyukur dan mengingati pengorbanan ibu bertarung nyawa melahirkan mereka.

Kaedah Lamaze

Kaedah ini merangkumi cara berehat dan senaman tarik nafas yang dilakukan kebanyakan ibu ketika mengandung seperti diajar dalam kelas antenatal. Lebih baik jika suami turut mempelajari kaedah ini.

Kesakitan bersalin juga disebabkan ketegangan otot pelvis dan kaedah ini membolehkan otot pelvis berehat dan seterusnya mengurangkan kesakitan. Sebahagian wanita hanya memerlukan kaedah ini untuk mengurangkan kesakitan dan ia lebih semula jadi.

Ubat-ubatan

Suntikan ubat opiod iaitu yang sama kumpulan morfin diberi ketika sakit bersalin dan menghalang otak daripada merangsang deria kesakitan. Bagaimanapun, ubat opiod ini boleh menyebabkan khayal dan mengantuk. Malah, bayi yang lahir juga mungkin boleh mendapat kesannya dan biasanya bayi diberi ubat antidote iaitu naloxone sejurus selepas dilahirkan.

Sedutan gas Entonox (campuran gas oksigen dan nitrus oksida) memberi kesan sama iaitu menghalang deria rasa daripada mengalami kesakitan dan sampai ke otak, tetapi ia juga boleh menyebabkan wanita mengantuk dan kurang cergas ketika bersalin.

Epidural

Di negara maju seperti Amerika, suntikan epidural antara kaedah mengurangkan kesakitan bersalin paling popular dan penggunaannya melebihi 50 peratus. Di hospital yang mempunyai lebih 1,500 kes bersalin setahun, penggunaan epidural meningkat daripada 22 peratus pada 1981 kepada 51 peratus pada 1992.

Manakala hospital yang mempunyai antara 500 hingga 1,500 kes bersalin setahun menunjukkan peningkatan penggunaan epidural daripada 13 peratus pada 1981 kepada 33 peratus (1992).

Hospital yang mempunyai kes bersalin kurang daripada 500 setahun menunjukkan peningkatan daripada 19 peratus (1981) kepada 33 peratus pada 1992.

Setakat ini daripada 19,389 kes bersalin di Hospital Besar Sultanah Aminah Johor Bahru, hanya 85 kes menggunakan epidural. Manakala di Hospital Pakar Puteri yang mempunyai 19,389 kes bersalin setahun, kaedah ini mula digunakan secara aktif pada pertengahan tahun lalu.

Antara faktor yang menambah kesakitan ketika bersalin ialah kelahiran anak pertama, induksi bersalin (penambahan ubat Pitocin) untuk mempercepatkan bersalin, kehamilan pada usia muda, obes dan kesakitan tulang belakang sewaktu datang haid.

Suntikan epidural diberi apabila pesakit mula menunjukkan tanda hendak bersalin, tetapi tidak digalakkan untuk ibu yang acap kali bersalin dan bukaan servik mencapai lapan sentimeter. Ini kerana tempoh bersalin sangat cepat dan faedah suntikan epidural kurang bermakna.

Epidural menahan kesakitan bersalin dengan menghalang buat sementara waktu saraf yang bermula dari rahim ke otak. Ia tidak membawa kesan negatif kepada fungsi otak mahupun menyebabkan rasa mengantuk kepada ibu dan bayi di dalam kandungan.

Kebaikan suntikan epidural sangat banyak. Selain menahan kesakitan pada peringkat pertama dan kedua kelahiran, ia tidak memberi kesan mengantuk pada ibu, memberi bius untuk kelahiran secara forceps, jahitan episiotomi dan meneruskan khidmat pembiusan jika memerlukan kelahiran secara pembedahan caesarean.

Di samping itu, untuk ibu yang ada masalah kesihatan seperti sakit jantung dan tekanan darah tinggi, epidural adalah ubat tahan sakit paling selamat dan sangat diperlukan.

Apabila ibu sakit bersalin, tekanan darah naik, nafas menjadi cepat dan jika keadaan ini tidak dikawal, ia memberi kesan kepada ibu yang ada masalah jantung.

Epidural mengurangkan kesakitan dan menyebabkan salur darah mengembang, melancarkan peredaran darah kepada bayi dan secara tidak langsung mengurangkan risiko bayi lemas. Kajian terbaru menunjukkan suntikan epidural tidak mengganggu kelancaran proses bersalin dan tidak meningkatkan risiko memerlukan pembedahan caesarean.

Bagaimana suntikan epidural diberi?

Ibu mengandung akan diminta duduk atau mengiring mengikut keselesaan masing-masing selepas penerangan mengenai epidural diberikan.

Kemudian satu tiub halus (diameter berukuran 0.45 milimeter) dimasukkan ke bahagian belakang (lumbar) ibu dengan suntikan jarum di kawasan epidural (luar kawasan saraf tunjang dan cecair meninges).

Sebelum itu, suntikan ubat bius setempat diberi di kawasan kulit tempat suntikan jarum. Kemudian jarum epidural dialihkan dan meninggalkan tiub halus di kawasan epidural.

Melalui tiub halus ini, kadar pengaliran ubat bius — biasanya bupivacaine atau ropivacaine — memberi kesan kebas pada saraf yang meliputi kawasan rahim dan servik.

Kebanyakan orang dapat merasai suntikan pertama, tetapi hanya segelintir berasa gelisah. Ramai wanita langsung tidak merasai tiub yang dipasang di belakang badan.

Tiub ini dikeluarkan selepas bayi dilahirkan atau selepas jahitan episiotomi. Jika ibu terpaksa menjalani pembedahan caesarean, pembiusan epidural ini diteruskan sehingga selepas pembedahan.

Apakah yang berlaku ketika epidural?

Tahap kesakitan pada peringkat pertama kelahiran adalah berbeza-beza dan ia bergantung kepada bukaan servik (OS). Daripada bukaan OS sebanyak tiga sentimeter hingga ke bukaan penuh (10 sentimeter) kesakitan akan bertambah.

Kadar pemberian ubat bius epidural diberi melalui pam infusor. Selain mengurangkan kesakitan, ia menghasilkan rasa kebas pada bahagian bawah perut, ari-ari dan sengal di kaki. Pada peringkat kedua bersalin, walaupun terasa kebas, ia tidak mengganggu keupayaan meneran dan bersalin tetap.

Epidural adalah proses pembiusan selamat selagi kadar dan kuantiti ubat bius yang diberi mengikut jumlah betul. Kadar yang diberi bergantung kepada ketinggian fizikal dan kadar kesakitan pesakit.

Epidural tidak diberi kepada mereka yang ada risiko pendarahan seperti mereka yang ada haemofilia, sepsis (jangkitan kuman dalam darah), jangkitan pada kulit di bahagian belakang badan, pesakit jantung yang mengambil ubat mencairkan darah seperti warfarin dan aspirin, wanita lumpuh atau mereka yang pernah melakukan pembedahan tulang belakang.

Bagaimanapun, epidural tidak menjamin 100 peratus dapat mengurangkan kesakitan kerana kadangkala faktor posisi ketika pemberian epidural dan abnormaliti pada struktur tulang belakang yang bengkok (kifosis dan skoliosis) menyebabkan kesukaran mendapat posisi jarum epidural di kawasan lumbar tulang belakang.

Kadangkala, kekebasan hanya dirasai di sebelah badan. Ibu mengandung perlu mengalih posisi baring ke arah berlainan supaya mendapat kekebasan menyeluruh.

Di samping itu, selepas suntikan epidural, kekerapan pemeriksaan tekanan darah ibu, degupan jantung bayi, kadar kontraksi rahim diberi lebih perhatian bagi menjamin keselamatan ibu dan bayi.

Kebanyakan wanita yang memilih suntikan epidural menyatakan ia memberi kelegaan kesakitan. Hampir semua yang pernah diberi suntikan epidural ingin melakukannya sekali lagi pada masa depan. Kajian membuktikan epidural tiada kesan sampingan jangka panjang.

Rungutan atau dakwaan bahawa suntikan epidural menyebabkan sakit belakang kemudian hari adalah tidak benar. Ini kerana selepas bersalin normal tanpa epidural pun, sakit belakang tetap wujud disebabkan faktor berat badan, regangan pada kulit dan otot, serta postur ketika mengandung.

Kesan sampingan yang biasa dialami adalah tidak selesa akibat kekebasan pada bahagian bawah badan. Biasanya kebanyakan wanita dapat menerimanya sebagai ketidakselesaan sementara. Selain itu, ia boleh menyebabkan tekanan darah rendah (hipotensi) dan tidak dapat membuang air kecil dengan sendiri (mungkin memerlukan tiub kencing).

Biasanya pakar bius memberi ubat bius epidural berdos rendah yang berkesan untuk mengelak masalah ini. Sebahagian ubat bius epidural boleh juga menyebabkan kegatalan kulit dan ini dapat diatasi dengan menukar jenis ubat bius atau dirawat dengan ubat.

Kurang satu per seribu orang pula mungkin mendapat jangkitan kuman pada kawasan epidural. Biasanya ia tidak berlaku kerana prosedur epidural dilakukan dalam keadaan steril.

Ada juga mengadu mengalami sakit kepala yang kuat. Ia dinamakan ‘Post Dural Puncture Headadche’ — biasanya akibat prosedur epidural sukar yang menyebabkan berlaku kebocoran pada kawasan cecair meninges.

Keadaan ini boleh diatasi dengan berehat dan minum air secukupnya dan mengambil ubat tahan sakit seperti paracetamol. Jarang sekali ia memerlukan rawatan perubatan lain.

bacaan lanjut di- portal hospital Kulim oleh saudara zuwairi
http://hkulim.moh.gov.my/userinfo.php?uid=8

No comments:

Post a Comment