Followers

nuffnang

Thursday, December 24, 2009

Silaturrahim melalui reunion



Alangkah gembira jika kita dapat kembali ke masa lalu. Kita dapat rasai kembali suasana yang dulu, manis dan gembira. Mungkin dapat perbaiki kisah duka dan kesilapan silam. Tetapi itu adalah tidak mungkin walaupun ada sutradara mengkhayalkan di dalam filem mereka. Paling hampir kita menjenguk masa silam ialah dapat menemukan sahabat lama ke latar tempat yang sama pernah kita lalui dulu. Kerana menghimpunan watak dan latar lama lampau secara bersama akan dapat mencungkil kembali kisah-kisah lama tersebut.

Bukan mudah memanggil memori yang sudah hilang dek jarak lama masa berlalu dan banyaknya ceritera baru menimpa kita saban hari menenggelamkan kisah lama. Suis kenangan begitu mudah dihidupkan pabila bersama kenalan lampau kita. Kisah lalu, nama sahabat lama,tragedi dan sebagainya secara automatik terpacul walaupun sebenar terpadam dalam fikiran sejak berdekad lama.

Perjumpaan dengan rakan lama menjadi satu trend sekarang.Ia umpama tarikan magnet. Keinginan ingin menghadirkan diri begitu kuat. Kerana kita ingin melepaskan rindu, ingin mengetahui cerita baru, perkembangan sahabat, yang sudah berjaya dalam kerjaya, sahabat yang telah pergi dulu,bahkan ada yang ingin mencari peluang baru dalam bisnes. Tidak kisahlah apa tujuan utama dan sampingan mereka. Yang penting semua ingin berjumpa semula sahabat lama.

Namun ada di kalangan sahabat yang memencilkan diri. Walaupun keinginan bertemu sahabat lama begitu kuat namun ada faktor menolak yang membataskan mereka. Di antara faktor utama apabila mereka merasakan kekurangan dari segi pencapaian kerjaya dan ekonomi, kekurangan sosial seperti belum berkahwin, belum dikurniakan cahaya mata dan kegagalan perkahwinan. Perasaan rendah diri menyebabkan mereka mengelakkan diri.

Oleh itu, sebagai sahabat lama yang menginginkan silaturrahim terus terjalin melalui program reunion perlu merancang menemukan sahabat dalam bentuk tidak mendedahkan kekurangan sahabat kita. Elakkan aktiviti yang mengguris hati. Bagi diri kita yang mungkin merasakan ada kekurangan perlu berfikiran positif dan bersangka baik bahawa objektif membuat reunion ialah untuk menemukan sahabat dan kenangan lama. Lupakanlah kekurangan jika ada dan ingat bahawa rezeki kita belum sampai untuk menjadi seperti rakan -rakan yang lain.

Selain itu, komitmen tehadap pelbagai perkara turut membatas penyertaan jika tidak kena masa dan tarikh. Kemungkinan ada sahabat terpaksa memberikan masa mereka terhadap perkara lain yang lebih utama misalnya majlis perkahwinan, peperiksaan dan sebagainya. Ada juga yang memang kesempitan kewangan terpaksa mengelak pada aktiviti yang tidak termasuk di dalam perancangan tahunan mereka.Oleh itu perancangan awal sangat penting menguruskan masa masing-masing.

Tidak dinafikan ada sahabat yang bahagia dengan kehidupan baru tidak berkeinginan langsung berjumpa rakan-rakan lama. Mereka merasakan program reunion ini membuang masa dan sejarah silam sangat buruk untuk dikenangkan. Kes seperti rasanya sangat terpencil kerana tidak mungkin sepanjang bertahun bersama tiada kisah suka melainkan duka, atau tiada langsung kawan yang menjadi sahabat baik walau seketika.

Kesimpulannya, program reunion sangat baik untuk menjalinkan silaturrahim sesama kita lantaran jarak masa dan usia kian menginjakkan diri kita dilandasan kehidupan masing-masing. Komitmen semua sangat penting bagi kejayaan sesuatu program reunion. Jika semua berfikiran positif dan ada individu yang sanggup menjadi leader atau pemula maka akan berjayalah sesuatu program.

No comments:

Post a Comment