Followers

nuffnang

Thursday, August 27, 2009

Hukuman Gantung Mandatori

insaflah...

i got this forwarded message in my mail just now..
sharing is caring, so.. enjoy!

Kisah 1- Polis di hukum gantung

KUANTAN ,12 mei 2009- Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal akhirnya menerima hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah atas dua tuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 811.91 gram empat tahun lalu.


Mohd. Isa dalam pertuduhan pertama didapati mengedar dadah jenis ganja seberat 390.45 gram kira-kira pukul 5.15 petang di hadapan sebuah kedai nombor ekor di Jalan Tok Muda Haji Idris, Pekan pada 14 Oktober 2005.


Pertuduhan kedua pula, dia didapati mengedar dadah jenis ganja seberat 421.46 gram kira-kira pukul 5.30 petang di kuarters polis Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan pada tarikh yang sama.


kisah 2 - Proses di tali gantung


Tali gantung yang diimport ini diperbuat dari jenis jut yang paling bagus dan dibalut dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan kulit banduan yang akan digantung.

Setiap satu berharga di antara RM4,000 satu hingga RM5,000.Tali gantung ini semasa diterima daripada ejen pembekalnya akandiuji ketahanannya dengan menggantungkan patung seberat lebih 90 kilo selama 72 jam.

Setiap tali gantung ini mempunyai nombor siri dan ia dan diklasifikasikan sebagai senjata dan disimpan di dalam peti besi.

'Setiap tali gantung kita terima ada perkiraannya. Kita tak boleh poie terus dan pasang, ada cara-cara yang kita kena ikut. Kita ada empat jenis tali dan kita pilih mengikut berat banduan,' jelas Samuel.

Di antara ciri utama tali gantung ialah tembaga pembunuh yang berfungsi untuk mematahkan tengkok banduan.


APABILA RAYUAN DITOLAK

Di Penjara Kajang umpamanya banduan yang dijatuhi hukuman gantung dikenali sebagai banduan akhir dan ditempatkan di Blok Abadi sehingga hukuman dilaksanakan.

Mereka ini menghabiskan hampir 23 jam sehari sendirian di sel mereka dan hanya boleh meninggalkan sel atas kelulusan pegawai yang bertugas.

Banduan akhir mungkin terpaksa menunggu bertahun-tahun sehingga habis keseluruhan proses rayuan yang membabitkan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Jemaah Pengampunan Negeri.

Sekiranya rayuan kepada Badan Pengampunan ini juga ditolak, Mahkamah Persekutuan akan mengeluarkan waran untuk melaksanakan hukuman dimana di dalam waran itu akan disebut nama banduan, nombor kad pengenalannya serta masa hukuman akan dijalankan iaitu di antara
5.30 pagi hingga 6.30 pagi.

'Kita diberi satu jam untuk laksanakan hukuman. Untuk banduan beragama Islam biasanya kita akan jalankan hukuman gantung ini pada hari Jumaat, selepas solat subuh. Bagi yang bukan Islam, waktunya lebih kurang sama, cuma harinya boleh berbeza,' kata Samuel.

Selepas waran dikeluarkan, banduan akhir akan dibawa berjumpa dengan pengarah penjara yang akan memaklumkan tentang pelaksanaan hukuman gantung selepas segala proses rayuan terakhir ditolak.

'Biasanya banduan akhir ini akan tahu apabila dia dibawa keluar dengan tangan bergari dan ada kawalan ketat, dia tahu keesokan harinya sesuatu yang buruk akan berlaku (dia akan digantung),' kata Samuel.

Semasa banduan akhir berada di bilik pengarah ini, kaum keluarganya yang biasanya sudah dimaklumkan seminggu lebih awal sudah menunggu di luar penjara untuk 'perjumpaan terakhir.'
Lazimnya suasana dan pilu akan menyelubungi setiap perjumpaan terakhir ini. Banduan juga diberi pilihan untuk 'hidangan terakhir' bernilai RM7.50.


HARI PENGGANTUNGAN

Menurut Samuel, kebanyakan banduan akhir yang menjalani hukuman gantung 'poie dengan rela' setelah menunggu begitu lamo untuk hukuman dilaksanakan.

'Mereka yang rajin sembahyang, tak kira agama, menunggu dengan tenang dan sudah bersedia. Ada beberapa orang sahaja yang menjadi agresif sehingga ke saat-saat terakhir.

' Ada sesetengah banduan puas hati dan beritahu saya nasib mereka lebih baik dari saya kerana mereka tahu bila mereka akan mati. Bila kita buka pintu untuk bawa mereka keluar ke bilik gantung, ada yang salam dengan kita dan ucap terima kasih. Mereka kata mereka dah tak tahan lagi menunggu,' katanya.

Di hari mereka diberitahu hukuman gantung akan dijalankan, mereka akan meminta pena dan kertas untuk nota terakhir. 'Jangan ikut tabiat buruk ayah' antara kata-kata terakhir seorang banduan untuk anak-anaknya, yang masih Samuel ingat.

Banduan juga boleh memilih pakaian apa yang hendak dipakainya pada hari hukuman.

' Ada banduan beragama Islam hanya mahu pakai kemeja T dan seluar sembahyangnya. Ada yang memilih kot dan tali leher. Ada yang pakai kasut berharga RM300. Mati penuh gaya . Banduan itu kata dengan jenaka,' cerita Samuel.

Hukuman gantung pula hanya dijalankan selepas semua pihak termasuk pengarah dan doktor berpuas hati dengan keadaan banduan pada hari hukuman akan dilaksanakan.

BILA PINTU PERANGKAP RENGGANG

Pintu perangkap di bilik gantung di mana banduan akhir berdiri akan secara automatik renggang sepenuhnya bila 'gear' ditarik. Di bawah lantai pintu perangkap ada ruang kosong dengan ketinggian 5.18 meter.

Bunyi pintu perangkap yang terbuka dengan kuatnya memecah kesunyian suasana penjara.

Menurut Samuel, proses menggantung dari masa banduan dibawa keluar dari bilik menanti ke bilik gantung dan pengarah memberi isyarat kepada tukang gantung untuk menarik 'gear' yang akan antaranya membuka pintu perangkap hanya mengambil masa kira-kira 15 saat.

Semuanya perlu dibuat dengan lancar dan menurut Samuel, kematian berlaku dalam masa di antara 30 saat hingga satu minit dan banduan akan diturunkan dan diletak di atas troli selepas setengah jam dibiar tergantung.

'Saya sering mengingatkan pembantu-pembantu saya supaya menghormati jenazah kerana dia sudah menjalani hukuman. Kalau kita hormat pada dia, semuanya tak ada masalah.

'Bagi saya pula, kebiasaannya saya akan pandang muka jenazah ini dan letakkan tangan saya di atas dadanya. Ini petua yang diberi oleh bos- bos saya dulu,' kata Samuel.

Menjalankan tugas khas ini memberikan banyak keinsafan kepada Samuel. Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memupuk nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka untuk mengelak mereka terjerumus melakukan jenayah.

'Segala-galanya bermula dari keluarga. Kalau keluarga tak kawal, lingkup. Dadah, umpamanya, kalau seorang dalam keluarga jadi penagih, satu keluarga akan terjejas,' katanya sambil menjelaskan bahawa kebanyakan kes hukuman gantung adalah berkaitan dengan dadah.

kredit to-http://adoseofperspective.blogspot.com

Sunday, August 23, 2009

Kenapa perlu berbuka dengan kurma?



Ketika berbuka puasa Islam menganjurkan umatnya agar berbuka dengan buah tamar dan air. Kurma akan memberikan tenaga dengan cepat kepada badan. Apabila kita menyoroti kisah Maryam ibu Nabi Isa AS, Maryam telah bersandar pada pangkal pokok kurma di saat merasa sakit melahirkan anak. Lalu Allah SWT telah mengutuskan malaikat untuk memberitahu supaya digoncangkan pohon kurma untuk mendapatkan kurma yang masak. Daripada kisah ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa kurma boleh membekalkan tenaga kepada Maryam tatkala merasa sakit untuk melahirkan Nabi Isa AS.

Kurma juga bertepatan dengan sunnah Nabi SAW. Kurma merupakan buah yang sangat berkat untuk dimakan. Rasulullah SAW telah mewasiatkan kepada umatnya untuk berbuka dengan kurma pada bulan Ramadhan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
“Apabila seseorang dari kalangan kamu berbuka, maka hendaklah dia berbuka dengan tamar. Jika dia tidak ada, maka hendaklah dia berbuka dengan air kerana ia adalah penyuci."(Diriwayatkan oleh Abu Daud, kitab Puasa, nombor 2355 dan At-Tirmizi, kitab Sedekah, nombor 658)

Dari Anas, sesungguhnya Nabi SAW berbuka puasa dengan beberapa ruthab sebelum solat, kalau tidak ada ruthab, maka dengan beberapa kurma matang, kalau tidak ada, maka dengan meneguk beberapa tegukan air putih. (HR. Abu Daud dan Tirmidzi)

Kurma makanan kesihatan
Jelas disebalik sunnah Nabi SAW mengandungi manfaat yang banyak untuk kesihatan. Itulah sebabnya Rasulullah SAW memilih kurma berbanding makanan lain untuk berbuka puasa. Ini tidak lain dan tidak bukan ialah kerana kurma mempunyai kandungan yang baik untuk kesihatan.

Jika melihat dari sudut sains pula apabila saat untuk berbuka, organ-organ pencernaan mula aktif dan perlu diberikan sesuatu yang lembut. Ini akan menyebabkan organ-organ pencernaan memulakan kerjanya dengan perlahan-perlahan untuk terus mencernakan makanan yang lebih berat. Sebagai contoh di dalam kehidupan seharian, untuk melicinkan pergerakan sesebuah kenderaan ianya perlu dipanaskan terlebih dahulu sebelum bergerak. Ianya juga bertujuan untuk memastikan hayat kenderaan lebih lama.

Begitu juga dengan tubuh badan kita. Kesihatan sangat diperlukan untuk memudahkan melakukan ibadah bukan sahaja di bulan Ramadhan. Seperti kata pepatah arab berbunyi “al-aqlus salim fil jismi ssalim” yang bermaksud: ‘aqal yang sihat lahirnya daripada badan yang sihat’.

Kurma menghilangkan lapar dan dahaga
Keadaan orang yang sedang berpuasa sangat memerlukan makanan yang mempunyai gula yang mudah dicerna dan yang boleh menghilangkan rasa lapar. Nutrisi makanan yang paling cepat dicerna dan sampai ke darah adalah gula khususnya makanan yang mengandungi satu atau dua zat gula (glukosa atau sukrosa). Ini kerana tubuh mampu menyerap dengan mudah dan cepat zat gula hanya dalam beberapa minit. Apatah lagi jika perut sedang kosong, seperti orang yang berpuasa ini.

Jika kita mencari makanan yang boleh menyamai dua kandungan sekaligus (menghilangkan lapar dan dahaga), maka kita tidak akan menjumpai makanan yang lebih baik daripada apa yang disarankan oleh Nabi SAW. Iaitu kurma.

Kandungan gula dalam kurma
Berdasarkan kajian yang dibuat, menyatakan bahawa satu bahagian kurma yang dimakan menyamai 86-87% beratnya mengandungi 20-24% air, 70-75% gula, 2-3% protein. Manakala mengandungi hanya 8.5% serat. Berdasarkan penelitian, juga ditemui bahawa ruthab (kurma segar) mengandungi 65-70% air berdasarkan berat bersihnya, 24-58% zat gula, 1.2-2% protein dan 2.5% serat.

sumber: http://abuaiman786.blogspot.com/

Friday, August 21, 2009

Demam Peperiksaan


Minggu ini memang demam peperiksaan, semua sekolah sedang menjalankan peperiksaan P3 masing-masing. Bagi yang terlibat dengan peperiksaan maka sedang mengalami demam peperiksaan. Isteriku juga sedang demam periksa - walaupun masih dalam pantang.

Tapi bagi yang sakit seperti demam pun dipanggil demam peperiksaan juga dalam konotasi yang paling ikhlas - demam- tak boleh menduduki peperiksaan.

Puteri sulungku Asilah mengalami demam yang kedua- tak dapat nak menduduki 2 hari peperiksaan P3 bila kena serang demam...risau juga musim H1N1 ni, balik sekolah Rabu tu terus berselimut, sejuk katanya...dan petang terus panas yang tinggi suhu badannya. tidak mahu tunggu lama, malam terus ke klinik ambil ubat.

Esoknya pula bertambah 2 orang lagi demam bila Izzah dan Adeebpun tunjukkan simptom yang sama. Jumaat- Izzah demamnya menjadi lebih teruk ,manakala Adeeb dan Asilah kian sembuh menjelang petang. Tika isteriku menduduki peperiksaan OUMnya di SISP Tualang, aku bawa Izzah ke klinik.. ada bengkak di belakang telinga !!

Monday, August 17, 2009

Nota PTK

Dalam cuti sekolah nanti, ramai guru akan menduduki PTK..bagi diriku sendiri , tinggal kertas umum yang masih III, kertas khusus dah perolehi IV pada sessi yg lepas.Kalau berpeluang dan rezeki ingin merasa IV di DG41 ini sebelum naik ke DG44 nanti. Aku pernah merasa peroleh IV kedua2 kertas semasa DG29 dulu. Semasa di DG32 tak sempat merasa.Tapi kini cabaran baca buku satu masalah besar. Jalan mudah buat soalan interaktif sahajalah..itupun baru cadang2 belum mula lagi.Soalan interaktif ni agak bagus bila boleh repeat berkali2 dalam random yang berlainan. Kekurangannya pulak content yang out of date..2007 .

Sunday, August 16, 2009

masalah artikulasi pertuturan



Adeeb, anak lelakiku marah-marah bila orang berbual, ketika dia mula nak tidur. Keletahnya kekadang begitu menghiburkan. Kini sebutannya mula jelas butirnya. Kalau dulu kami sekeluarga selalu ketawa bila mendengar tutur katanya yang pelat. Sampaikan terbit kerisauan bagaimana dia hendak bersekolah nanti. Alhamdulillah kini sudah 8 bulan beliau menduduki kelas Pra sekolah. Pertuturannya yang dulu pelat cucu (susu) cebok ( sibuk) , dan lain-lain yang mengantikan 'S' kepada 'C' telah pun digantikan. Cuma yang kelakarnya semua perkataan bermula C ditukar pulak kepada S walaupun memang perkataan tu huruf C.. itu pasal bila dia marah-marah , ayat yang keluar ialah "Jangan Sakap Adeeb nak tidur".Dulu memang dia sebut "cakap". Dia faham huruf yang dia pelat dulu, yang bermula huruf 'S' di sebut 'C' perlu ditukar kepada abjad sebenar. Masalahnya borong semua sekali pulak dah....

Wednesday, August 12, 2009

Selsema Babi Lagi - ini tentang teori

H1N1 konspirasi kapitalis buat duit
Hishamuddin Rais
Ogos 12, 09
5:29pm

Saya selalu mendengar cerita bagaimana di beberapa selekoh di lorong-lorong motosikal, akan ada paku-paku tajam ditaburkan. Ia bertujuan membocorkan tayar.

Tidak berapa jauh dari tempat paku itu, ada pula iklan "tukar tiub".

Saya juga diberitahu oleh kawan baik saya bahawa di jalan menuruni terowong lebuh raya Karak sering ditaburkan minyak. Pernah sekali keretanya tergelincir.

Tidak jauh dari terowong ini, ada lori tarik kereta menunggu.

Cerita ini contoh taktik untuk menjalankan perniagaan - cara mencari pelanggan. Dalam dunia perniagaan, rukun imannya ialah keuntungan. Semua peniaga ingin mendapat untung.

Lebih banyak untung, lebih cepat jadi kaya.

Hari ini kita semua tahu bagaimana seramai 44 orang telah ditewaskan oleh virus selesema A (H1N1). Wabak ini sedang menular bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.

Apa sebenarnya semua fenomena ini?

Pada 1963, satu persidangaan diadakan di Iron Mountains, tidak jauh dari Hudson New York. Ketika ini Amerika Syarikat sedang bertarung di Vietnam, Laos dan Kemboja.

Persidangan para pemikir ini untuk membuat dasar bagi pihak kuasa imperial Amerika Syarikat. Pemikir-pemikir ini ingin mencari jalan bagaimana sistem ekonomi kapitalis dunia ini dapat diteruskan tanpa berlaku peperangan.

Laporan dari Iron Mountains telah mengajukan:

- Pertambahan penduduk di bumi akan membawa laba kepada kaum korporat,
- Perang wajib berlaku untuk tujuan ekonomi, politik dan perkembangan sosial,
- Melahirkan musuh sebagai strategi politik.

Dari sinilah lahir keinginan untuk mengawal genetik dan pembunuhan besar-besaran dalam usaha untuk mengawal manusia bagi memastikan keuntungan terus dapat dikaut oleh kaum kapitalis.

Di sini juga bermulanya apa yang akan kita kenali sebagai keganasan biologi – bioterrorism. Teknologi hayat akan digunakan sebagai senjata untuk mengawal umat manusia.

Pada 1970 telah keluar satu memo, National Security Memo No: 200. Memo ini ditulis oleh Henry Kessinger yang menimbulkan bagaimana wajib dikawal ledakan penduduk yang semakin bertambah dalam dunia hari ini.

Memo No: 200 ini mencadangkan agar dijalankan usaha untuk mengurangkan penduduk dunia.

Petikan sebahagian kandungan memo tulisan Kessinger:

"There is a major risk severe damage to world economy, political and ecological syatem begin to fail to our humanitarian values. The urban slums dwellers (though apprently not recent migrants) may serve as a volatile, violent force which threatened political stability.

International relation - population factors are crucial in and after determinants of violent conflicts in developing areas. There is no single approach which will solve the population problem.

The complex social and economic factors involved call for comprehensive strategy… At the same time action and program must be tailored to specific countries and group
."

Dalam bahasa mudah, Kessinger melihat manusia miskin – penduduk miskin kota - sebagai sampah dan perlu dikawal dan dibersihkan. Ia samalah dengar dasar 'setinggan sifar' yang selalu diuar-uarkan dalam negara kita ini.

Justeru, hari ini ada berpuluh-puluh lembaga, badan dan makmal sedang membuat kajian biologi. Ada yang bergantung rapat dengan universiti. Ada yang berkait rapat dengan kaji selidik tentera. Ada yang diwujudkan oleh syarikat pembuat ubat.

Malah semua makmal penyelidikan ini kait-mengait antara satu sama lain. Lembaga-lembaga ini semuanya mendapat dana daripada syarikat pembuat ubatan-ubatan dan mendapat kontrak daripada Jabataban Pertahanan Amerika Syarikat.

Semua lembaga dan makmal ini adalah lembaga kapitalis. Tujuan penyelidikan ilmiah mereka untuk membuat keuntungan maksimum. Ilmu pengetahuan mereka bukan digunakan untuk kesejahteraan umat manusia tetapi untuk mencari jalan agar perniagaan mendapat untung besar.

Syarikat ubat-ubatan bernabikan keuntungan. Lagi ramai yang sakit, lagi baik untuk ubat dijual. Kesihatan ialah perniagaan – inilah dasar kaum kapitalis.

Justeru, jangan terperanjat jika saya nyatakan bahawa virus AIDS, HIV, Ebola semuanya lahir dari bilik makmal.

Seperti memerangkap Mat Rempit agar tayar motosikalnya bocor, begitu jugalah kajian biologi di bilik-bilik makmal yang sedang dilakukan oleh kaum kapitalis ini.

Kaum kapitalis multinasional ini ingin memerangkap – bukan dengan menjual tiub. Mereka melepaskan virus-virus ini dengan dua tujuan:

1 – mengurangkan penduduk dunia, dan
2 – menjual ubatan.

Tidak masuk akal? Ia hanya teori konspirasi? Ia pandangan gila Hishamuddin Rais? Sabar dahulu.

Cuba fikirkan pula bagaimana depleted uranium (DU) sedang digunakan dalam perang di Iraq dan Afghanistan. Peluru-peluru baru yang dibuat oleh syarikat persenjataan menggunakan DU dalam peluru yang dapat meledakkan apa sahaja – dari kereta perisai hingga ke tembok-tembok tebal.

DU ini, daripada apa yang diheboh-hebohkan, adalah uranium yang telah mandul kuasanya. Justeru tidak berbahaya kepada manusia. Kenyataan ini bohong!

Kajian demi kajian telah dijalankan yang menunjukkan DU ini masih membawa padah dan malapetaka yang maha hebat kepada umat manusia.

DU akan melahirkan barah. Anak-anak yang baru lahir di Iraq dan Afghanistan – apabila ibu atau ayahnya telah terhidu DU – akan lahir bukan seperti bayi.

Ada yang berkepala besar. Ada yang bermata satu. Ada yang bengkang-bengkok. Bayi-bayi ini gergasi cacat yang dimunculkan oleh teknologi kaum imperial Anglo-Amerika.

Tujuan penggunaan DU ini cukup jelas. Penduduk akan berkurangan. Yang hidup akan terus-menerus memerlukan ubatan – ertinya mereka akan terus membeli ubat.

Ini pandangan karut daripada Hishamuddin Rais? Kerana DU juga terkena kepada tentera mereka juga. Betul.

Memang betul ada beribu-ribu tentera British dan soldadu Amerika yang telah mengambil bahagian dalam perang Desert Storm dan sedang menghadapi apa yang dipanggil Gulf Syndrom.

Ia adalah penyakit baru - pengidapnya akan mati perlahan-lahan. Pada akhir 1980-an, para veteran Desert Storm di United Kingdom menuntut agar Golf Syndrom ditakrif sebagai penyakit.

Permintaan ini telah ditolak oleh kerajaan. Kerajaan menafikan wujudnya penyakit ini.

Para veteran – satu demi satu mati. Anak-anak mereka yang baru lahir ramai yang cacat sama seperti yang terjadi di Iraq dan Afghanistan.

Jangan hairan, kaum kapitalis memang tidak berhati perut. Apa yang penting, keuntungan besar. Dan ini juga selari dengan dasar yang telah dibincangkan di Iron Mountains.

Ia juga dasar yang sedang dijalankan mengikut Memo No: 200 yang disarankan oleh Kessinger.

Umat manusia perlu dikurangkan dalam dunia ini agar mereka yang kaya terjamin kesempurnaan hidup mereka - samalah seperti mengawal penduduk Kampung Kerinchi daripada berpindah ke Country Height atau menggodam setinggan di Kampung Berembang atau Buah Pala agar mereka tidak berani membuat rumah di Bukit Tunku.

Juga, hampir kesemua soldadu yang berperang itu adalah anak-anak kelas bawahan. Mereka ini, seperti kata Kessinger, sampah yang akan membawa masalah.

Soldadu Amerika hampir 80 peratus berkulit hitam dan Latino. Menghantar mereka ke medan perang cara terbaik untuk mengurangkan jumlah mereka.

Anak-anak orang kaya tidak akan masuk menjadi tentera. Malah George W Bush sendiri telah mengelak daripada pergi menyertai Perang Vietnam.

Apabila saya membaca, mengkaji dan meneliti dokumen yang "dibebaskan" atau yang telah dibocorkan, maka ternyata virus terbaru A (H1N1) ini juga telah menetas dari bilik makmal.

Dasar pengurangan umat manusia di bumi ini sedang berjalan dengan baik. H1N1 ini adalah sebahagian dari strategi itu.

Jika kurang yakin tentang apa yang saya cuba nyatakan di sini – atau menganggap ia hanya teori konspirasi – sila cari dan baca.

Ada berjuta-juta bahan kajian ilmiah dan tulisan-tulisan para penyelidik yang menimbulkan isu ini. Semua ini amat senang untuk ditemui dalam internet.

Pada ketika ini, tela diheboh-hebohkan tentang satu vaksin yang akan muncul untuk melawan H1N1. Ia juga pengiklanan besar dari kaum kapitalis.

Untuk sementara waktu kita diberitahu bahawa vaksin ini masih dalam kajian.

Bayangkan, mula-mulanya kita ditakut-takutkan. Kemudian kita diberitahu jangan takut, ada jalan selamat. Tetapi jalan selamat ini wajib dibayar. Cukup senang untuk memerangkap.

Sama seperti menabur paku di jalan raya untuk membocorkan tayar motosikal Mat Rempit. Beginilah sifat kapitalis. Beginilah cara kaum kapitalis membuat untung.

Dalam sistem ekonomi sosialis - ubatan adalah untuk kesihatan, bukan untuk keuntungan. Dalam sistem ekonomi sosialis, hospital milik rakyat, bukan untuk diswastakan.

Dalam ekonomi sosialis, perubatan untuk semua dan bukan untuk yang kaya.

Dalam sistem masyarakat sosialis, umat manusia penjana tamadun, bukan sampah yang perlu dihapuskan. Fikrah manusia digunakan untuk kebaikan, bukan untuk keuntungan.

Monday, August 10, 2009

Selsema babi - cerita dari sumber


High risk infection to person yg smooking, has atshma, children, pregnant woman

Beginner stage
Batuk, selsema, demam, sakit tekak, bila terbesin bunyi tak kuat...

Second Stage
Susah bernafas, simtom macam asthma but not asthma, at this stage if you touch the person, or breath in the same room 80% boleh kena...masa ni kena kuarantin...at hospital. Masalahnya sekarang dah ramai yg kena.. hospital tak cukup katil & bilik kuarantin...Bila u pengsan macam nak mati baru dia org admitted.macam kes adik I.

Critical
Lung infection. Bila X ray we can see the virus covered the lung. Like my brother case. Very scary bila tengok x ray tu. At this stage u need oksigen with highest level, Strongest antivral..very high drug. At least 7 days oksigen kena bagi. % to recover depend to age, imune badan u. That's why kalau baby atau budak2 susah nak kata...normally die. My brother hari ni genap 8 hari..still need oksigen. Kesian dia. Masa tahap critical tu tercungap2 dia bernafas, sampai menangis..Sampai satu tahap dia berguling atas simen sbb dah tak tahan...sampai dia give up ..sampai dia blh cakap lebih baik Allah ambik nyawa dia...Itu lelaki tu..imagine kalau pompuan atau budak2. We all cuma blh tengok dia dari cermin...tak blh masuk dlm bilik kuarantin...Dr & nurse aje boleh masuh...siap pakai baju plastik. To support him, what we did bagi sms, bagi dia alquran biar dia baca so that dia tenang, bagi tasbih biar dia zikir ingat Allah & bagi Air yasin...Alhamdulillah pastu dia ok sikit.Ada hikmahnya...All the family member unite to support my brother fighting the virus.

Masalahnya hospital swasta tak terima H1N1 case, sekarang ni semua depend hospital kerajaan yg most of the doctors still young . The oldest dr in my brother ward was 28 years. All the Otai dah pergi private. Lepas tu plak this is the first time to treat H1N1 patient. At the same time dr bz with other case as well...1 doktor 5 patient...kat gov hospital...kesian dr2 tu...berhempas pulas nak selamatkan patient. I appreciate them, mmg very appreciate dia org jaga adik i dgn baik sekali..So far hospital Ampang is the best goverment hospital yg i jumpa..very efficient.Very quick action ..Even senior dia org dah pergi private & they don't have much experience , dia org tetap work hard give the best treatment to the patients..sampai tak balik rumah...tidor kat hospital.

Rasa nak peluk & cium dia org sebab selamatkan adik I...Thanks to Allah

ini posting dari seseorang yg ada adik beradiknya kena H1N1..dilihat dan dibaca pada
face book angkung dan Hospital Ampang Puteri ialah tempat kerja Zarina ( Da ) anak saudara saya.

Sunday, August 9, 2009

BAHAYA! TABIAT MEMBUANG MASA

Pepatah mengatakan "Angin yang sama meniup kita, ianya bergantung
kepada kita untuk melayarinya". Setiap insan mempunyai jumlah
waktu yang sama dalam sehari, iaitu 24 jam. Apa yang menentukan
kejayaan seseorang itu adalah kecekapannya dalam mengurus 24 jam
sehari nya. Tapi bila lihat kerja yang menimbun- misalnya buku latihan
belum habis disemak, sudah berlambak pula yang baru , ditambah kerja
lain yang hendak ad-hoc, itu yang pening. Lantas, kadang kadang tak
buat apa-apa..buang masa.

Tabiat membuang masa, atau sering dikenali sebagai
"proscastinantion" adalah tabiat yang merugikan kita. Sering kali,
kita menunda-nundakan sesuatu kerja, sehingga produktiviti kita
untuk mencapai kejayaan menurun.

Bagaimana kita boleh membuang tabiat buang masa ini:

MATLAMAT DIKECILKAN

Seringkali kita membuang masa oleh kerana melihat sesuatu kerja itu
terlalu besar atau terlalu banyak untuk ditangani. Adakalanya matlamat
yang terlalu besar menyebabkan kita kurang berkeyakinan dan kurang
bermotivasi untuk mencapainya. Dilihat seperti kerja yang bakal dilalui
amat besar dan tidak kesampaian!

Apa yang kita harus lakukan adalah, pecahkan matlamat yang besar
itu kepada matlamat yang lebih kecil. Matlamat untuk mengumpul 10
ribu ringgit mungkin bunyinya besar, tetapi sekiranya dipecah
kepada unit yang lebih kecil, iaitu menyimpan RM500 setiap bulan,
matlamat akan tercapai juga dalam masa 20 bulan. Kerja sekolahpun yg
macam-macam nak dibuat serentak tak mampu, kalau rancang betul-betul
mungkin boleh beres....

TINGKATKAN KEKUATAN TENAGA

Sering kali kerja ditunda atau kerja tidak dapat disiapkan adalah
kerana badan kita terasa penat. Mata kita terasa mengantuk dan
tubuh kita tidak rasa selesa untuk meneruskan sebarang kerja.

Sebab ini adalah, tidak kira sekeras mana kita kerja, tidak kira
berapa jam kita melakukan tugas kita, sekiranya badan kita tidak
mampu menahan bebanan tersebut, produktiviti kita akan berkurangan.

Ambil masa untuk berehat. Tubuh manusia boleh bertahan pada tahap
produktiviti yang tinggi dalam lingkungan 8-9 jam sahaja. Itu pun
sekiranya mempunyai tubuh yang sihat. Adakalanya, dengan hanya
melelapkan mata atau menambahkan masa tidur kita di malam hari, ia
akan menyegarkan semula tubuh kita untuk menjadi lebih produktif
pada keesokan hariinya. Sekiranya kita sering tidur 5-6 jam sahaja
oleh kerana kerja yang banyak, kita boleh tambahkan masa
tidur kita untuk menyegarkan tubuh kita.

Lakukan aktiviti senaman dari masa ke semasa, kata pakar kesihatan
tidak semestinya kita bersenam setiap hari, walaupun bersenam
setiap hari adalah terbaik. Tetapi, beri masa untuk bersenam selang
beberapa hari untuk menguatkan lagi tubuh kita dan daya ketahanan
badan kita dengan tekanan kerja.

Jaga makan dan minum kita. Kita di Malaysia adalah dalam keadaan
disadvantage oleh kerana makanan kita agak berat jika dibandingkan
dengan makanan barat. Tetapi, perhatikan daya ketahanan mereka di
barat gaya sihat. Tubuh mereka lebih kuat walaupun umur meningkat.

Makan seperti ahli sukan dan bersenam selalu. Tubuh kita akan rasa
sihat, badan kita akan rasa segar- ia akan menambahkan produktiviti
kerja kita. Tiada lagi rasa malas dalam memulakan sesuatu kerja! Selain
itu boleh makan makanan tambahan seperti Spitulina HPA ..he he saya
dah amalkan.klik HPA web.

SUARA POSITIF

Bagaimana tindakan kita bergantung kepada suara yang sering kita
masukkan di dalam minda kita. Buang segala suara-suara negatif
seperti saya akan gagal. Saya tidak dapat melakukan kerja ini.
Orang lain tidak akan suka dengan hasil kerja saya. Gantikannya
dengan suara suara positif- saya akan berjaya, saya akan menyiapkan
kerja ini dengan sempurna dan orang akan memuji hasil kerja saya.

Jadi seorang yang optimis dan berfikiran positif, ini akan
memudahkan segala kerja yang kita lakukan. Walaupun mungkin keadaan
sekeliling menyebabkan perasaan kita lemah dan tidak bermaya,
masukkan gambaran-gambaran positif di minda kita.

Terdapat satu istilah ini mengatakan bahawa kita gembira oleh
kerana kita menyanyi. Dan bukan sebaliknya kita menyanyi kerana kita
gembira!

Mereka yang optimis akan...
- Sering melihat segala kebaikan di keliling anda dalam apa
keadaan sekali pun
- Pelajari daripada apa sahaja kesusahan yang dilalui dan terima
dengan hati terbuka
- Sering mencari penyelesaian daripada maslalah, dan bukannya
memperbesarkan suatu masalah.

Orang yang berjaya sering mencerita tentang matlamat mereka. Mereka
sering bercerita tentang masa depan dan bukan mengungkit masa
silam. Lebih positif diri kita, lebih bersemangat dan lebih
produktif kerja yang dilakukan oleh kerana kita akan menjadi
seperti apa yang kita fikirkan selalu. Fikirkan boleh!

PRINSIP 80-20

menjimatkan 2 jam dalam setiap hari kita.

Prinsip Pareto ini mengatakan bahawa 20% daripada masa yang di
ambil untuk menyiapkan sesuatu tugasan adalah untuk 80% hasil
daripada tugas tersebut. Dalam erti kata lain, produktiviti kita
akan menurun selepas 20% masa kita diambil!

Oleh itu, bagaimana caranya menggunakan prinsip ini untuk manfaat
kita?

Mudah sahaja. Apabila kita ingin melakukan sesuatu tugas,
bentangkan tugasan tersebut di hadapan kita dan fikirkan strategi
bagaimana kita perlu menangani tugas tersebut. Apabila kita sudah
bersiap sedia dengan apa yang kita perlukan, terus mulakan tugasan
tersebut. Jangan berhenti, dan teruskan sahaja sehingga kita data
menyiapkan apa yang kita termampu. Mungkin ianya mengambil 1 jam...
atau 2 jam. Apa sahaja yang kita mampu lakukan, lakukannya.

Kemudian, berhenti! Ya... berhenti dari melakukan tugasan tersebut.
Ini kerana, kita telah mengambil 20% daripada masa kita yang
benar-benar produktif dalam menyiapkan kerja tersebut. Namun, kerja
tersebut sudah 80% siap!

Apa yang kita perlu laku kini adalah, alihkan perhatian kita kepada
kerja atau tugas yang lain. Mulakan tugas baru dan tidak perlu
hiraukan tugasan tadi. Untuk tugasan baru juga, lakukan yang sama
iaitu, beri tumpuan yang khusus 20% daripada masa yang perlu
diambil, kemudian berhenti. Lakukan perkara yang sama pada tugasan
yang lain.

Dengan melakukan prinsip pareto ini, kita dapat menyiapkan 80%
daripada kerja di tangan dalam 20% masa kita sahaja. Selepas
kesemua 80% tugas kita selesai, kita boleh kembali kepada tugasan
asal untuk menyiapkan 20% sehingga selesai. Kini, keadaan kita
sudah segar daripada tugasan asal, dan produktiviti meningkat
semula.

Dengan menggunakan strategi Pareto ini, kita pasti teruja dengan
kecekapan kita menangani masa menyiapkan beberapa kerja serentak!

terima kasih -irfan khairi, motivasi anda memang membantu.

Thursday, August 6, 2009

soal jawab tentang wanita

Fitnah ..menu istimewa ? Siri 2

kubur.... by Uwais Al-Qarni.

10 Wasiat Imam Syafie

SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Pesanan Hamba

Bila mata bertemu mata

Akan mula rasa kasih.

Bila hati bertemu hati

Akan mula rasa sayang.

Tapi….bila dahi bertemu sejadah

Akan terasa kebesaran Allah S.W.T



Menuntut ilmu adalah taqwa,

menyampaikan ilmu adalah ibadah,

mengulang2 ilmu adalah zikir,

mencari ilmu adalah jihad,

(Al-Ghazali)

Sesungguhnya mati jasad kerana roh,

Mati roh kerana tiada ilmu,

Mati ilmu kerana tiada amal

Dan mati amal kerana tiada istiqomah.

Sumber : http://www.flickr.com/photos/mba83/

Fitnah ..menu istimewa ? siri 1

PasarChowrasta by Uwais Al-Qarni.
Lepak-lepak sambil minum air, makan keropok, nasi lemak atau kerabu, sambil ngusik kawan-kawan adalah salah satu cara melepaskan letih lepas sepagi kerja..lepas rehat ni sambung kerja lagi. Tapi bila lebih daripada berdua tu.. secara tak sedar terbitlah cakap yang mungkin tak pasti kebenaran..ataupun tak tahupun hujung pangkal cerita atau beritanya, tapi sedap sangat bercakap; mulut tak ada insuran; maka secara tak sedar dah mengata kawan-kawan yang lain. Maksud yang lain MENGUMPAT atau lebih bahaya lagi MEMFITNAH. Nasihat kepada diri ku dan kawan-kawan , bahaya tau suka sangat bercakap ni...

Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.

Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar. Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.

Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah. Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12). Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.

Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu. Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.

Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah. Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.

rujukan:
i. web Belia Islam dan blog
ii. http://imamzul.blogspot.com/
iii. www.flickr.com/photos/mba83/3293032372/

Saturday, August 1, 2009

Jaundis Neonatal (demam kuning)

Jaundis Neonatal (penyakit kuning bayi juga disebut demam kuning)

Jaundis Neonatal serang bayi baru lahir

Oleh DR ASMUNNI YAHYA
Pakar Perunding Paediatrik

JAUNDIS NEONATAL atau penyakit kuning bayi (juga disebut demam kuning) adalah perkara yang biasa terjadi di kalangan bayi pada minggu pertama kelahiran.

Lebih kurang 60 peratus bayi matang (lahir selepas genap 37 minggu kehamilan) dan 80 peratus bayi pramatang mengalami masalah ini. Jaundis pada bayi terjadi disebabkan pemendapan pigmen bilirubin di dalam tisu, menyebabkan kulit dan mata putih bayi kelihatan kuning.

Pada keadaan biasa, ada sedikit kuantiti bilirubin di dalam darah, tetapi apabila kuantiti bilirubin ini melebihi satu tahap (akibat sebab tertentu) pemendapan bilirubin ke tisu badan dan kulit akan berlaku.

Penyakit kuning bayi boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu penyakit kuning berkonjugat dan kuning tak berkonjugat.

Bilirubin tak berkonjugat adalah antara produk akhir yang terhasil melalui pemecahan sel darah merah yang tamat tempoh hayatnya. Bilirubin tak berkonjugat seterusnya akan diproses kepada bilirubin berkonjugat di hati dan kemudian akan disingkirkan dari badan melalui najis.

Bayi baru lahir mempunyai jumlah sel darah merah yang banyak. Tambahan pula, hati bayi baru lahir belum matang dan tidak dapat memproses bilirubin sepenuhnya, menyebabkan paras bilirubin di dalam darah meningkat dan seterusnya pemendapan berlaku di dalam kulit yang menyebabkan kekuningan.

Penyakit kuning tak berkonjugat

Sebilangan bayi sihat mengalami masalah kekuningan pada hari kedua dan menjadi nyata menjelang hari ketiga dan keempat selepas kelahiran.

Fenomena ini adalah masalah fisiologi tubuh badan bayi dan kuning ini dipanggil jaundis fisiologikal.

Masalah jaundis fisiologikal tidak berlaku dalam masa 24 jam pertama kelahiran dan tidak melebihi jangka masa dua minggu dalam bayi matang atau tiga minggu dalam bayi pramatang. Tahap bilirubin dalam darah juga tidak tinggi (iaitu kurang dari 250 mmol/L atau 12 mg/dL).

Beberapa punca boleh menyebabkan peningkatan paras bilirubin dalam tisu, antaranya:


Penyakit kekurangan enzim G6PD di dalam darah.


Ketidaksesuaian kumpulan darah antara ibu dan bayi - iaitu faktor rhesus atau ABO


Terlalu banyak sel darah merah (polycythemia)


Masalah kecederaan ketika lahir. Bayi yang lahir melalui kaedah vakum atau forsep mungkin mengalami masalah pendarahan di bawah bahagian kepala, sama ada di bawah selaput yang menutupi tulang tengkorak (cephalhaematoma) atau di bawah tisu lembut kepala (pendarahan subaponeurosis)

Semua masalah di atas akan menyebabkan pemecahan sel darah merah dan seterusnya jaundis. Penyakit kuning tak berkonjugat juga boleh berlaku kerana keadaan luar biasa seperti hypothyroidism, jangkitan kuman, ibu menyusu yang memakan jamu atau ubat tradisional tertentu, anak yang tidak menyusu secukupnya dan ‘breast milk jaundice’.

‘Breast milk jaundice’ boleh terjadi disebabkan kandungan susu ibu yang luar biasa dan mungkin mengandungi komponen ‘beta glukoronidase’ yang boleh merencatkan pemprosesan bilirubin tak berkonjugat kepada berkonjugat.

Penyakit kuning berkonjugat

Antara punca paling penting menyebabkan penyakit kuning berkonjugat adalah masalah biliary atresia, di mana saluran hempedu tidak normal dan tersekat.

Ini menyebabkan paras bilirubin berkonjugat meningkat di dalam darah. Tambahan pula, bilirubin berkonjugat yang terhasil tidak dapat disingkirkan melalui najis, seterusnya menyebabkan najis bayi kelihatan pucat keputihan dan air kencing berwarna gelap. Penyakit biliary atresia memerlukan rawatan pembedahan.

Kesan-kesan jaundis

Apabila tahap bilirubin tak berkonjugat tinggi, ia boleh melepasi lapisan darah-otak (blood brain barrier) dan termendap di sel-sel otak. Jika jaundis tidak dirawat, bayi boleh mengalami masalah pendengaran atau lebih teruk lagi masalah terencat akal (kernicterus).

Rawatan jaundis

Jika bayi anda kelihatan kuning, jumpalah doktor untuk pemeriksaan. Pemeriksaan darah akan dilakukan untuk menilai paras bilirubin di dalam darah. Berdasarkan keadaan bayi dan pemeriksaan darah, doktor kanak-kanak anda akan menilai sama ada rawatan susulan diperlukan.

Rawatan yang biasa dilakukan untuk bayi jaundis adalah rawatan fototerapi. Fototerapi adalah rawatan cahaya biru yang boleh menukar struktur bilirubin tak berkonjugat kepada lumirubin, di mana ia senang dikumuhkan di hati dan disingkirkan melalui najis.

Fototerapi perlu dilakukan berterusan; bayi didedahkan kepada cahaya biru ini tanpa pakaian dan mata bayi akan ditutup dengan penutup mata khas.

Rawatan fototerapi ini akan dihentikan apabila tahap bilirubin darah menurun ke tahap selamat. Rawatan fototerapi boleh dilakukan di hospital atau jika paras bilirubin tidak terlalu tinggi melalui ‘home phototherapy; di rumah anda.

Rawatan penukaran darah akan dilakukan apabila paras bilirubin tak berkonjugat dalam darah terlampau tinggi, iaitu melebihi 340mmol/L, walaupun setelah diberi rawatan fototerapi.

Jika anak anda sudah menerima rawatan fototerapi, pemeriksaan susulan perlu diadakan untuk memastikan tahap bilirubin tidak melambung semula.

Berbincanglah dengan doktor anda sama ada rawatan fototerapi masih diperlukan.

Bayi yang mempunyai paras bilirubin terlampau tinggi atau menerima rawatan penukaran darah perlu mendapat pemeriksaan susulan untuk pemeriksaan perkembangan dan ujian pendengaran.

sumbe:http://www.dbmhospital.com.my/home/morearticle.asp?articleid=20

ketika ini bayi ku sedang diberi rawatan homeopathy bila bacaan kuning melebihi 13. esok repeat check di hospital Jengka.

H1N1- selesema Babi -berapa orang akan mati?

Hingga 28,000 di M'sia mungkin mati akibat H1N1



Dianggarkan 5,500 hingga 28,000 rakyat Malaysia akan mati dalam wabak selesema A (H1N1) jika 20 peratus daripada 27.7 juta penduduk negara ini dijangkiti virus tersebut.

"Daripada angka ini (5.5 juta orang dijangkiti), jika kita anggarkan kadar kematian antara 0.1 hingga 0.5 peratus, kira-kira 5,500 hingga 28,000 penghidap selesema itu akan meninggal dunia," kata presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Dr David KL Quek memetik unjuran yang dibuat pengarah penyakit berjangkit Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tee Ah Sian dalam satu mesyuarat pasukan kebangsaan petugas khas menangani wabak itu, pada awal minggu ini.

Dalam perkembangan terkini, kadar kematian di seluruh dunia meningkat daripada 0.4 kepada 0.66 peratus.

Dr Quek mendedahkan maklumat itu dalam artikelnya "Flu measures: Confusion rather than non-compliance" yang diedarkan kepada beberapa media semalam. [Baca artikel penuh]

Beliau juga menekankan kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan, hospital, doktor di pusat kesihatan swasta dan orang ramai agar wabak ini dapat dikekang secara lebih berkesan.

Dr Quek juga menegaskan kepada semua pihak, termasuk media, agar tidak menuding jari kepada pengamal perubatan swasta atau beberapa pihak lain atas beberapa perkembangan terkini wabak itu.

Menurutnya lagi, wabak itu dijangka sekurang-kurangnya berlarutan antara satu hingga dua tahun sebelum reda - sama ada virusnya berubah dalam bentuk lebih lemah atau vaksin telah ditemui untuk membasminya.

Setakat ini, vaksin belum ditemui dan dijangka akan diperolehi hujung tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 10 peratus simpanan stok ubatan anti-virus 'Tamiflu' dan 'Relenza' buat masa ini tidak cukup memandangkan penularan ketara penyakit berjangkit itu.

Kerajaan akan memesan lagi bekalan ubat itu daripada WHO
bagi memastikan negara mempunyai bekalan ubat itu pada setiap masa bagi membendung wabak influenza A(H1N1), lapor Bernama.

"Melihat kepada trend penularan wabak itu yang semakin meningkat, kita perlu memesan ubat itu daripada WHO," beliau dipetik berkata selepas menghadiri Konvensyen MCA Pulau Pinang hari ini.

Tambahnya, kementerian turut menempah 200,000 dos vaksin influenza A (H1N1) dan dijangka mendapat bekalan itu menjelang akhir tahun ini.

Katanya tempahan tersebut terpaksa dilakukan awal kerana prosedur
menguji ubat itu mengambil masa sebelum dapat diberikan kepada pesakit.

Sementara itu, lapor agensi berita itu lagi, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata 19 kes baru H1N1 dilaporkan hari ini dan kesemuanya melibatkan rakyat Malaysia.

Jumlah terkumpul 1,390 kes, termasuk 816 kes atau 59 peratus melibatkan jangkitan tempatan.

"Daripada keseluruhan, 1,362 kes (98 peratus) telah sembuh, hanya 17 kes atau satu peratus sahaja sedang menerima rawatan antivirus di hospital.

"Lapan daripadanya berada di unit rawatan rapi (ICU), manakala 11 orang sedang menerima rawatan antiviral di rumah," katanya.

sumber : Malaysiakini 1 Ogos 2009 8:03pm